NILAI CINTA
15 November 2007 - Khamis
Baru-baru ni ada kawan emel tanyakan apa kesudahannya anak2 RS ni kalau lelaki dalang yang terlibat ni terlepas begitu sahaja…. Nada yang sangat prihatin terhadap masa depan anak-anak remaja perempuan kita. Kali ni kita akan cerita tentang lelaki-lelaki harapan anak-anak RS dulu.. tetapi kini….tidak lagi!
Ada beberapa kali kami terima panggilan dari ‘pakwe-pakwe’ anak-anak RS ni dalam keadaan terdesak ingin membantu kekasih mereka yang ‘termengandung’ ni. Namun untuk menyatakan atau mengaku bahawa mereka terlibat dalam hal tak bermaruah ni TAKKAN SEKALI-KALI! “Kami ni kawan je..dia mintak tolong ngan saya jadi saya tolong la..” Tolong tanyakan… sebab mak dan ayah budak perempuan ni langsung tak tau cerita. Nak gugurkan tak berduit. Kena jugaklah cari tempat berlindung. Budak perempuan ni dah tentu la hilang punca…sebab hari-hari tanya macam mana nak buat…orang laki-laki pulak kalau ditanya selalu langsung menjadikan mereka tersangat pressured….mahu tak mahu kena jugak cari jalan untuk selamatkan diri. Mujur sangat ada tempat macam RS ni agaknya….
Sangat jarang sekali ada teman lelaki yang mahu membantu dan bawak kawan-kawan perempuan yang malang ni berjumpa dengan kami. Kalau yang datang tu dikira sebagai ‘macho’ habis! Bagi lelaki seperti ni yang rasa bersalah atas apa yang berlaku biasanya kita akan cadangkan dan bantu mereka untuk berkahwin. Alhamdulillah, walaupun kadang-kadang terpaksa berdepan dengan suasana panas mak dan ayah mereka, perkahwinan di pejabat agama dapat dilangsungkan dengan baik di hadapan tuan qadhi. Yang selebihnya bila ditanya kemana lelaki yang terlibat, jawab budak perempuan tu “dah jenuh call…cari sana sini, kat rumah sewa, kat tempat kawan-kawannya lepak…kawan-kawan dia kata dah lama tak balik atau dia dah pindah…” Senang betul hidup macam tu…meninggalkan benihnya di sana sini dan kemudian menghilangkan diri….malangnya manusia macam tu lah yang banyak hidup bebas di pentas dunia ni..
Namun, macam mana la kita nak salahkan semuanya kepada sang lelaki. Banyak kes terjadi di rumah sewa sang lelaki…alamak! Apa dah jadi ni? Memang sangat memalukan…anak-anak perempuan kita yang cari pasal in the first place. Ajak berhenti kejap di rumah sewa sementara nak hantar ‘makwe’nya balik ke rumah tu adalah cerita biasa…dah tak hangat dah. Kemudian minum-minum, lepas tu sembang-sembang, lepas tu rehat-rehat, lepas tu dah tak sedar…. Macam mana dalam satu rumah duduk ramai-ramai, kawan-kawan lain tu hanya mendiamkan saja perlakuan ni? Lebih teruk, mereka pun tumpang sekaki!
Diukur dari penampilan diri anak-anak RS ni tentu kita tertanya-tanya benar ke diaorang semua pernah buat kerja macam ni…..tak pernah ke mereka terpikir yang segala penyakit kelamin termasuk HIV akan tersebar dengan cara ni? Rata-rata akan jawab sama ada tak tahu atau pernah dengar tapi tak kisah pun. Yang sedih tu anak-anak remaja perempuan kita bila dah suka, takkan nampak lagi dah mana cacat celanya teman lelaki mereka. Kalau dah sekali sentuh mereka akan terus setia pada yang satu ni dengan harapan teman lelaki ini akan mengahwininya….suatu hari nanti. Hanya ada beberapa kes sahaja bermula dengan paksaan tapi tak sampai ke tahap dirogol sebab memang anak-anak perempuan kita tak dapat membendung perasaan kasih yang mendalam hingga sanggup korbankan maruah diri dan agama. Erti cinta bagi mereka adalah sama dengan rela hati menyerahkan mahkota diri atau kata lain memberi seks!
Di satu ketika dulu pernah satu hari k.ros dihubungi oleh dua orang lelaki yang mahu mendapatkan calon isteri di RS. Maka bertemulah kami dalam satu sesi temubual yang agak panjang dan mendebarkan k.ros…apa tidaknya, macam-macam perkara bermain di kepala…”apasal dia cari di RS ni…dia nak jual ke budak-budak ni…dia nak lepaskan diri dari kene deport ke sebab bunyi macam orang indon…” sampai ke tahap tu pemikiran k.ros menerajah. Lega k.ros bila mereka berdua mengeluarkan kad pengenalan apabila k.ros tak berapa yakin dengan umur yang mereka nyatakan. Sah bukan orang indon! Kebetulan rumah RS nak kena dibaiki dan mereka pulak tukang rumah, jadi k.ros mulakan langkah dengan menguji mereka dulu di sini. Dengan pekerja seramai 5 orang mereka mulakan pembaikan. Setiap kali tiba waktu solat mereka akan berhenti dan solat berjamaah. Mereka mintak k.ros yang dapatkan pasangan sebab diaorang ni tak berani nak pandang-pandang sangat…malu agaknya. Mintak upah pun ala kadar sebab k.ros dah cerita habis tentang penubuhan RS dan mereka pulak tanya apa yang mereka boleh bantu.
Dipendekkan cerita, kami telah dapat menyatukan 2 pasangan ini dengan urusan akhirnya dijalankan oleh mak ayah anak-anak RS masing-masing. Alhamdulillahi rabbil’aalamiiin.
Sebenarnya yang paling menyentuh perasaan k.ros ialah bila k.ros bertanya “kenapa pilih perempuan di RS untuk jadikan isteri? Kan ramai perempuan-perempuan lain lagi di luar sana tu?” Jawapan mereka “ Betul kak….memang ada ramai perempuan kalau nak dijadikan isteri tapi macam-macam sangat rupa dan kelakuan mereka…menakutkan! Kalau ambik di RS sekurang-kurangnya mereka ni dah bertaubat kak. Kami dah tanya ustaz dalam kelas di surau kami. Ustaz kata kalau nak ambik isteri di luar alhamdulillah, tapi kalau nak ambik isteri di RS, tafaddhal...insy kamu adalah rijaalun kareem”. Subhanallah….AllahuAkbar….moga Allah terus pelihara mereka dan lindungi anak-anak kita.
Ikhwah dan akhawat, pamerkan dan zahirkanlah kasih sayang kepada anak-anak kita. Mereka juga adalah manusia yang Allah fitrahkan naluri bermanja dan sangat beremosi. Kalau bukan kita yang salutkan nilai kecintaan maka anak-anak remaja akan mula memohon curahan kasih sayang daripada orang-orang yang mungkin akan mengambil kesempatan terhadap diri mereka. Tolonglah selamatkan anak-anak remaja kita semua…
Nukilan
ummiroses@Rosmawati Zainal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan