Solat Tiang Agama


“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)
Memaparkan catatan dengan label perjuangan ini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjuangan ini. Papar semua catatan

Jumaat, April 02, 2010

SEMUA PIHAK MESTI BERTANGGUNGJAWAB

Semua pihak bertanggungjawab – Raudhatus Sakinah

TM Lim

a

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.

Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.

aPengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.

“Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?” soalnya.

Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.

“Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah.”

Visi RS ialah ‘ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020′. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu ‘ambitious‘?

“Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.

“Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung,” jelas Rosmawati.

Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti ‘walk the talk‘, menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.

“Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, ‘kun fayakun’. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia,” katanya sambil menguntum senyum.

Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?

“Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya.”

RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).

“Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup.”

Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan ‘Malam Amal Raudhatus Sakinah’ (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema ‘Lelaki Pelindung Wanita’, program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.

(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)

Sumber : Malaysia Harmoni

Selasa, Januari 05, 2010

SEMANGAT JUANG

Salamu'alaykum wr wbr

Banyak sebenarnya yang ingin ummi kongsikan. Kadang-kadang tak terucap dek kata-kata... cukup sekadar membicarakan dalam hati dan rasa akan kegembiraan, kesedihan, kegusaran, kebimbangan, kepuasan, kebahagiaan......inilah nikmatNya yang tak terperi...semuanya pasti akan dilalui sebagai perjalanan kehidupan yang penuh dengan citarasa....alhamdulillahi rabbil'aalamiiin!

Gambaran anak-anak muda yang sentiasa di hati ummi....begitu gigih melaksanakan amanah mengislah dan berdakwah.....inilah penguat semangat untuk ummi dan rakan-rakan seangkatan terus berjuang....selagi hayat masih dipinjamkan Allah....insyaAllah!



25 Disember 2009 - Bersama jawatankuasa KARISMA Nasional di Perhimpunan KARISMA Nasional yang berlangsung di Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara. Mendengarkan ucapan dasar Presiden KARISMA anakanda Abdullah Omar, yang bertajuk Sedekad Mengukuh Tekad, terasa betapa anak-anak ini sudah semakin matang mengharungi kehidupan....masyaAllah! Mereka makin berani menyuarakan yang haq dan makin tegas menzahirkan kepada masyarakat kampus, kebathilan yang berleluasa , agar kita sama-sama berganding bahu dan tenaga membangunkan ummah demi memartabatkan syariat...Subhanallah!




28 Disember 2009 - Dengan hebahan yang begitu singkat, anak-anak muda dan pakcik makcik berkesempatan berhimpun di Kedutaan Mesir bagi menyuarakan keperihatinan kita terhadap rakyat Palestine. Lihat saja wajah-wajah pejuang angkatan muda ini....walaupun bukan di medan perang namun mempertahankankan hak kemanusiaan tetap akan terus diperjuangkan!







Last but not least, rakan-rakan trainers ABJZ yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap usaha amar ma'ruf nahi mungkar. Kami dah pun memulakan siri training of trainers mulai 19-20 Disember 2009 dan siri-siri seterusnya sedang berlangsung dari masa ke masa insyaAllah. Trainers perlu dibangunkan dirinya terlebih dahulu sebelum sesi bersama remaja, belia dan masyarakat dewasa dimulakan dalam masa yang terdekat ini. Buat masa ini, pemasaran terhadap pakej-pakej ABJZ sedang galak dipasarkan dan alhamdulillah, kami dah pun mula menerima undangan dari sekolah dan institut pengajian tinggi. Terus doakan kami diberi kekuatan dan semangat juang yang tak pernah padam agar ummah ini dapat dibangunkan menjadi manusia yang hebat di sisi Allah SWT!

Untuk anak-anak dan sahabat-sahabat yang ingin bersama kami, sila lawati http://www.andabijakjauhizina.blogspot.com.

Kami sangat mengalu-alukan kebersamaan ANDA SEMUA!


nukilan

ummiroses

Khamis, November 26, 2009

KEMBALI BERSUA

Bismillahir rahmanir rahiiim

Salam Eidul Adha untuk semua anak2 dan sahabat2 yang dikasehi.

Rindu untuk menulis telah datang....sebelum ni dah menulis tetapi hilang ditelan angin lintang agaknya...tentulah ada hikmahNya kan?


Pertama sekali nak ucap jutaan terima kasih atas segala sokongan yang telah diberi kepada ummi tak kira di mana pun kalian berada. Oh ye..tadi anak2 dari Maktab Perguruan Miri menziarahi RS...maafkan ummi yang tak kesempatan untuk menyambut dan menyaksikan kalian. Apapun, ummi yakin kalian telah dapat rasa satu kepuasan kerana selama ini hanya mendengarnya dari jauh saja. Makasih atas kunjungan yang membawa rahmat dan barokah kepada anak2 ummi di RS sana. Ummi pun belum pernah sampai ke Miri, tapi kalau kalian mahukan program ABJZ di sana, boleh saja hubungi ummi. Ummi dan team akan bahagia berkongsi apa pun asal dapat bantu membangunkan generasi yang bakal menjadi pendidik ummah!

Terima kasih juga buat anak2 di sekolah-sekolah yang telah ummi dan team hadiri untuk program ABJZ dan program yang sewaktu dengannya. Ummi sebetulnya agak kesuntukan masa untuk berada di forum maya apatah lagi berada di blog sendiri. Macam-macam persediaan untuk menghadapi Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM minggu depan di Kuala Kangsar dan memenuhi jemputan program-program di sekolah yang sangat banyak selepas PMR (Sek Men Agama Hishamuddin Kelang, Sek Men Sg Rawang, Sepang, Sek Men Bukit Rahman Putra, Sg Buloh). Di samping itu, ada juga program bersama masyarakat (LPPKN di KL, Jab Peguam Negara di Rompin) yang jarang sekali ummi menolak jemputannya kerana inilah juga antara platform untuk kami berkongsi maklumat dengan ibu ayah kalian semua.

RS sedang dalam perancangan meluaskan siri kesedaran program Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) yang mensasarkan tahun 2010 sebagai tahun berjuang habis-habisan memerangi bahaya zina. RS cannot do this alone...we need you! Please come forward....give us your fullest support. Help us to help others! Kita tak boleh nak menangguhkan lagi kerja amar ma'ruf nahi mungkar ini. Kita tak tahu bila umur ini akan terhenti. Kita akan berusaha. Kita akan menjadikan usaha ini sebagai pelepas tanggungjawab kita apabila bertemu dengan Allah di akhirat nanti insyaAllah!

Jadikanlah tekad ini sebagai satu langkah permulaan untuk kita semua bertemu di Jannah nanti insyaAllah!

JOM amar ma'ruf nahi mungkar bersama!




nukilan
ummiroses

Khamis, Oktober 08, 2009

BERSAMA MENEBAR KEPEDULIAN

Salam kasih sayang buat semua....

Di sekitar Selangor dan KL ni mood berjamuan menyambut Hari Raya masih lagi berterusan nampaknya...agaknya dah beres puasa enam masing-masing...alhamdulillah. Ummi masih lagi terkial-kial menyiapkan sunnah yang besar ganjaranNya ini. ..maklumlah sebaik kembali persekolahan dari cuti hari raya, ummi dan team ABJZ kena memenuhi undangan ceramah bagi mengisi slot motivasi dan kesedaran untuk anak-anak tingkatan 1 hingga 5. Memang sah tak dapat nak berpuasa, kering tekak apabila terpaksa mengeluarkan suara ke tahap maksima...pernah saja suatu ketika dulu tahun 2007, ummi mintak air di tengah presentation sebab tersekat suara...tanpa sedar tu dah masuk bulan Ramadhan! Alahai...segannya la dengan anak-anak murid situ...




Tapi kali ni ada cerita yang macam lebih malu sikit lagi... Baru-baru ini semasa ucapan aluan Pengetua sekolah di Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Pengetua sempat pulak sebut, "... rasanya puan Rosmawati ni adalah anak murid saya..." terus ummi jadi kaget dan memandangnya..."pernah belajar di Kolej Islam kan?"tambahnya lagi. Aduhai....apa punya anak murid la ummi ni! Padanlah semasa diperkenalkan, ummi macam pernah melihat senyuman di wajah pengetua...tapi di mana ya? Dulunya pernah menjadi seorang guru sejarah yang sentiasa ingat kepada nama-nama anak muridnya...masyaAllah... hebat betul cikgu Surimin ni. Cumanya cikgu tak mengajar kelas ummi tapi tetap ingat ummi...dan lebih ingat lagi sebab ummi adalah kapten pasukan hoki kolej dulu-dulu...hehe.




Owh...ummi belum sempat sebenarnya bercerita tentang lawatan ummi dan gang RS ke Jakarta dalam lawatan belajar kami mengenali beberapa NGO yang sangat prihatin berusaha menebar kepedulian terhadap masyarakat. Ok2...nanti ummi ceritakan insyaAllah. Sebelum tu ummi suka nak khabarkan bahawa salah sebuah NGO yang kami lawati iaitu PKPU (Pos Keadilan Peduli Umat) telah berpeluang menziarahi kami di Pejabat JIM, Pusat Bandar Melawati pada hari Jumaat, 18 September 09...di saat ramai yang telah pulang ke kampung untuk berhari raya.Namun Alhamdulillah dengan izinNya, ummi dan team RS iaitu ibu Yus dan Siti Aini, anakanda Abdullah Omar mewakili KARISMA (Kelab Rakan Siswa), Joanes Lukas untuk Hidayah Centre, Khadijah JIMedia dan Prof Sahrim mewakili Presiden JIM telah dapat bersama-sama menerima kunjungan ini. Hadir daripada PKPU adalah Bapak Agung Notowiguno yang merupakan Direktur Utama PKPU ditemani oleh Saudara Syuryadi, seorang pelajar Univ Malaya yang juga wakil PKPU cawangan Malaysia. Sebenarnya kedatangan Pak Agung adalah untuk menerima sumbangan terhadap gempabumi yang berlaku di Tasik Malaya, tanah Jawa, Indonesia yang dipancarkan melalui RTM di sini. Subhanallah...begitu gigihnya PKPU ini mendapatkan apa jua bentuk sumbangan asalkan ummah terus terpelihara fizikal dan jasadnya. Kagum benar dengan tagline PKPU yang berbunyi Menggugah Nurani Menebar Peduli.

Bila disebut kepedulian ini, teringat kepada anak ummi, Abdul Muhaimin....selesai solat 'asar berjamaah di kampung di hari akhir Ramadhan, imam Abdul Muhaimin membacakan doa sehingga sebak dan tak dapat meneruskannya lagi. Kami terdiam semuanya....ummi mengusap belakang imam dan mengajaknya duduk di luar. Kata Abdul Muhaimin, "tadi solat kita yang terakhir untuk bulan Ramadhan dan belum tau lagi kita akan dapat bertemu dengan bulan yang sangat hebat ganjaranNya ini..." dan dia terus menangis tersedu-sedu....hiba hati ummi melihatnya. Sambil terkenang, semasa ummi seusianya belum dapat membezakan betapa bernilainya Ramadhan yang ditinggalkan ini... Subhanallah...Alhamdulillah...AllahuAkbar. Dan sebenarnya Abdul Muhaimin baru saja memasukki usia 16 tahun! Kalau dilihat luarannya boleh saja terkumpul bersama anak-anak yang suka melepak tapi Abdul Muhaimin ini punya guts untuk berkomunikasi dan mengajak kenalan-kenalan barunya bersolat dan berbuat kebaikan.
MasyaAllah...apa lagi yang diperlukan oleh seorang ibu melainkan berdoa agar semua anak-anak yang berada di luar sana untuk bangun bersama dan berusaha menyelamatkan ummah yang kian memerlukan bimbingan kita ini.



Di kesempatan ini ummi ingin sekali mengajak anak-anak remaja dan belia yang punya kesediaan untuk dilatih dan mahu mengikut ummi dan team RS dalam gerak kerja mengislah dan berdakwah...yuk! sementara umur masih ada...


nukilan

ummiroses

Rabu, September 02, 2009

MENYUMBANGLAH DEMI MEMBANTU SAUDARA BARU KITA

Assalaamu'alaikum wrh wbt,

Rakan-rakan yang dikasehi sekelian,

Kami mendoakan anda semua sihat wal'afiat dianugerah Illahi di samping berusaha memantapkan diri dalam bulan yang penuh barokah, rahmah dan maghfirah Allah ini.

Bagi anda yang berhajat untuk mengagihkan rezqi masing-masing sebagai penambah saham menuju Jannah, kami ingin sekali mengajak anda semua membantu saudara-saudara kita yang baru mengenal Islam. Untuk itu, kami menjemput anda semua untuk menyumbang dengan membeli pakej yang kami sediakan di Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre yang bertujuan mengumpul dana bagi pengoperasian Hidayah Centre yang merupakan Pusat Sokongan Saudara Baru di seluruh Malaysia. Anda boleh menyumbang dengan menaja saudara baru untuk hadir di majlis ini atau anda sendiri hadir bersama meraikan saudara baru yang tentunya dahagakan keprihatinan anda sekelian

Tarikh : 12 September 2009/22 Ramadhan 1430H.

Tempat : Dewan Seri Siantan,

Kompleks Perbadanan Putrajaya, 24, Persiaran Perdana, Precint 3,

62675 Putrajaya.

Masa : 5.00 petang – 11.00 malam.

Forum : Ke Arah Memperkasakan Saudara Baru



Pakej pembelian:

Pakej 1 : 1 Meja@10 kerusi : RM 5,000.00
Pakej 2 : 1 Meja@10 kerusi : RM 3,000.00
Pakej 3 : 1 Meja@10 kerusi : RM 1,000.00

1. Sumbangan boleh dibuat melalui :
a. "bank in" terus ke akaun CIMB : 1441-0009-8200-56
(cth: transfer fund, cek, maybank2U dll)
b. Sumbangan atas nama : Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.
c. Tunai - kaunter Ibu Pejabat JIM Pusat, Taman Melawati
2. Nyatakan sumbangan seperti "bank in slip" melalui emel, faks atau telefon -
Faks : 03-4107 1754
Telefon: 03-4108 9669 (untuk bukti penerimaan dan rekod)

3. Pihak kami akan mengeluarkan resit rasmi JIM Pusat sebagai penerimaan sumbangan.
Dengan penuh rasa tawadhu', kami mendoakan agar kita semua sentiasa diberi kesempatan dan ruang waktu untuk dapat membantu saudara-saudara baru kita walau di mana mereka berada. Justeru itu, kami mengucapkan terima kasih yang tak terhingga atas bantuan anda meringankan bebanan saudara-saudara baru kita. Semoga Allah memberikan yang terbaik atas sokongan padu anda semua selama ini.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :

“Tidak sesuatu pemberian sedekah itu mengurangi banyaknya harta. Tidaklah Allah itu menambahkan seseorang akan sifat pengampunannya, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri kerana mengharapkan keredhaan Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘Azzawajalla.”

(Hadith Riwayat Muslim)


Bantulah kami untuk membantu saudara baru kita....kerana kita adalah saudara mereka!

Rosmawati 019-2386333
Joannes Lukas 03-4108 9669/03-41073379

Rabu, Julai 01, 2009

THE UNSUNG HERO

ISA tidak membenarkan sama sekali mereka yang dituduh membela diri. ISA adalah undang-undang peninggalan British yang diwujudkan pada tahun 1960. ISA pada asalnya di wujudkan dan digunakan untuk membenteras komunis dan diwujudkan oleh British tapi sekarang disalahgunakan oleh Kerajaan Malaysia untuk melakukan kezaliman.


Itu yang di katakan zalim. Apa makna zalim? Singkatnya, setiap orang yang meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya berarti telah berbuat zalim. Dengan demikian, orang zalim adalah orang yang menyimpang dari kebenaran dan melakukan tindakan yang berlawanan dengan kebenaran atau yang semisalnya. Dengan kata lain, zalim bermakna melanggar atau menyimpang dari kebenaran hingga melakukan kebatilan atau kedurhakaan.


Ummiroses : I'm nothing compared to her whom i love so dearly....but the least i can do is to make everybody understand how important to care about others...help fight for their rights....make others aware of people in need....educate them the true teaching of Islam so as not to deliberately do the wrong things to good people....and please pray for her and our other sisters who bear the same predicament


Please continue reading her story...




Cerita kegigihan, kisah kecekalan Cikgu Laila

Posted on Sunday, May 31 @ 05:59:07 MYT by Paktam

Oleh Ahmad Lutfi Othman

KEZALIMAN ISA sebenarnya tidak perlu diceritakan lagi. Ia bukan sekadar kisah tahanan borong tanpa bicara, tidak hanya gumpalan hikayat lama tentang penyeksaan zahir batin.

Ia turut mampu memisahkan suami dengan isteri, ayah dan putera-puterinya, juga anak dari ibu bapa. Ada keluarga berantakan, cerai-berai dek racun berbisa penahanan tanpa bicara yang perlu terus dikutuk dan ditentang ini

Ada anak jatuh nazak secara tiba-tiba, seperti kes Aina Mardhiah Shahrial, 17, setahun lalu, dan si ayah, tahanan ISA tujuh tahun, sengaja dilewat-lewatkan kepulangannya. Shahrial hanya sempat menatap wajah jernih jasad kaku puteri sulungnya tanpa sebarang salam perpisahan.

Melakar kisahduka

Dan hening pagi Rabu, 27 Mei lalu, ISA sekali lagi melakar kisah duka. Tahanan ISA sejak dikurung 18 April 2002, Mat Sah Mohd Satray, 46 tahun, kehilangan bonda tercinta, Saoda Abdul.

ISA yang menjarakkan mereka sejak 2,600 hari lalu rupanya bertindak lebih kejam apabila menghalang Mat Sah untuk bersama ibu di waktu tua, sakit dan saat-saat yang amat memerlukan kehadirannya.

Saoda, 71, sebelum itu selama tiga minggu terlantar di HUKM. Selain kencing manis, dia menderita sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Dua hari sebelum Saoda meninggal, Mat Sah, anak ketujuh daripada 12 adik beradik dibenarkan pulang ziarah oleh pihak Kem Kamunting, dengan kawalan keselamatan peringkat tinggi. Hanya sejam Mat Sah dibenarkan menyantuni ibu tersayang.

Walaupun terbaring lemah, Saoda bingkas bangun bila mengetahui Mat Sah balik. Tampak segar sekali. Saoda minta duduk di sebelah dan makan bersama Mat Sah yang begitu sabar menyuapkan makanan ke mulutnya. Mata yang memerhati cukup terharu. Kasih ibu tiada penghujungnya, tulus dan kudus.

Dan itulah pertemuan terakhir mereka. Bayangkan, ketika episod tujuh tahun malam memanjang gelap gelita buat Mat Sah dan keluarganya masih tamat, beliau kehilangan ibu dalam suasana tragis.

Norlaila penggerak kempen mansuh ISA

Mungkin tidak ramai yang biasa dengan nama Mat Sah, tetapi jika disebut isterinya, Norlaila Othman, penggerak kempen mansuhkan ISA di medan depan, saya yakin hampir semua mengenali wanita berhati waja dan berjiwa kental itu.

Dia bukan sekadar berusaha keras membebaskan suami, tetapi padu tekadnya bagi membangkitkan kesedaran rakyat di segenap pelosok negara untuk merobek paksi-paksi kezaliman itu.

Ternyata Cikgu Laila merupakan ikon baru, simbol penentangan secara terbuka ke atas ISA yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Walaupun dimaklum kepada polis Cawangan Khas (SB) sejak subuh tentang kematian Saoda, Mat Sah hanya tiba jam 3.15 petang, 45 minit selepas jenazah ibu disembahyangkan. Dan beliau tetap dikawal bagai seorang penjenayah paling berbahaya ketika menziarahi jasad kaku ibunya!

Laila dalam blognya, lailagmi.blogspot, mencatatkan: "Ketika Abah (Mat Sah) menjejakkan kaki ke ruang tamu di mana jenazah nenek (Saoda) diletakkan, suasana senyap seketika. Semua memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik hijau.

"Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan, itulah ciuman terakhir Abah untuk nenek. Kuperhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu.

"Mungkin Abah tidak pernah terfikir, penahanan ISA akan menyebabkannya dan ibu kandung kesayangan terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa. Terlalu zalim ISA ini."

Tidak sempat bersalam

"... Abah tidak lama berada di sisi jenazah nenek. Sebaik mayat dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung Abah untuk dibawa ke dalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan di Segambut.

'Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan."

Seterusnya Laila mencatatkan: "Aku memandu sendiri ditemani Suhaib (anak)ke Segambut. Abah lama tiba di sana dan dibenarkan keluar dari van untuk membantu pengkebumian itu. Semua polis brpakaian biasa turut berada di sekitar lahad.

"... Sebaik siap siraman air mawar terakhir, Abah diberi masa beberapa minit bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara, termasuk aku dan Suhaib. Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya.

"Pegangan itu terlepas dan bila kepala kuangkat, Abah berada beberapa meter jaraknya dariku, berjalan pantas di kerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul di hadapan kawasan perkuburan.

"Selepas itu, aku tidak tahu di mana Abah dibawa pergi, bermalam di salah satu balai polis di Kuala Lumpur, atau terus dibawa pulang ke Kamunting."

Kepiluan yang menghiris

Bagi Laila pastinya kepedihan dan kepiluan yang menghiris itu sudah sebati dengannya. Tujuh tahun menanggung derita tidak pernah mematahkan semangatnya untuk tetap bersuara.

SB cukup mengerti komitmen tingginya itu hinggakan ramai beranggapan Mat Sah sukar dibebaskan selagi Laila aktif berkempen mendedahkan kebusukan dan kehodohan ISA.

Malah ketika Laila sibuk menelefon pihak polis untuk mengetahui di mana suaminya berada selepas hilang dari kawasan perkuburan, panggilannya langsung tidak dijawab.

Ia seperti mahu memanjangkan lagi deraan yang sudah cukup lama itu. Tidak cukup dengan tulisannya dalam blog, Laila giat rencana dan menghadiri program menentang ISA.

Sepanjang berurusan dengannya, termasuk ketika mengagihkan sumbangan pembaca Harakah kepada keluarga tahanan ISA, saya sering kali terlupa bahawa Laila juga sebahagian dari mereka yang teraniaya.

Laila lebih banyak bercerita tentang kesengsaraan orang lain, mengatur ziarah ke seluruh Semenanjung, juga hingga ke Sandakan dan Tawau, dan dirinya sendiri bagai terabai ....

"Kehidupan adalah perjuangan. Di sebalik diskriminasi tersebut, saya tetap bersyukur, masih diberi kehidupan oleh Allah SWT, ketika bangun dari tidur masih upaya melihat setiap kejadian Allah di sekeliling, telinga masih alert dengan sms.... dan yang utama, saya ada perkara penting untuk dilakukan di setiap hari yang baru....Selagi segala nikmat kesihatan, mental dan fizikal anugerah Allah ini masih belum ditarik balik oleh Nya, susah untuk saya mengelakkan diri from being part of the solution to repeal ISA...insyaAllah."

Perutusan Khas Cikgu Laila kepada semua sahabat-sahabat baru dan lama.......

Sempena Himpunan Mansuh ISA pada 1 Ogos nanti, kita ada masa sebulan untuk sama-sama memeriahkan kehadiran tarikh himpunan itu dengan satu niat untuk mendidik rakyat tentang "akta tahan tanpa bicara ISA".

Saya harap, netters sekelian sudi mengambil inisiatif menyebarkan maklumat tentang ISA seluas dan semaksimum yang mungkin di sepanjang Julai ini terutamanya, supaya lebih ramai yang akan faham dengan "ISA-tahan tanpa bicara' ini - http://lailagmi.blogspot.com

Ummiroses : Tiada lagi alasan yang berhak diperkatakan melainkan kita bangkit bersama berusaha memperjuangkan yang haq! Inilah usaha kita sebagai pelepas tanggungjawab yang bakal diucapkan apabila bertemu dengan Allah SWT kelak insyaAllah.


Ahad, Jun 21, 2009

SANTUNI MASYARAKAT





“Hi! I’m Ros from Hidayah Centre. We have a carnival here until Sunday. There’ll be lion dances for the opening on Saturday. An interesting forum regarding economic crisis from the view of 3 religions i.e islamic, christianity and budhaism. And also some cultural perfomances like kompang, silambam dance and nasyid at 8 pm that night. Please come and join us. Here is something for you to read and also a gift from us. Thank you.”




Dan kalau mendapat gelengan kepala atau wajah yang selamba serious buat tak pandang bila kita baru saja membuka mulut untuk menegur, just say “thank you very much sir or madam.” Tak perlu kecewa atau rasa terluka dan sedih. Kita berusaha sahaja. Selebihnya serahkan kepada Allah SWT yang maha berkuasa menganugerahkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakkiNya. Yang penting kita berupaya menyebarkan syiar agar insan lain tahu apa itu Islam yang sebenarnya.



Lega rasanya bila tanggungjawab terhadap melaksanakan Karnival Harmoni selesai. Langkah menyantuni masyarakat baru bermula. Ramai sahabat yang kurang biasa lagi untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat non muslim. Cuba pelbagaikan kata-kata supaya kita dapat break the gap….alhamdulillah. Ramai yang kembali kepada kami dengan senyuman dan semangat tinggi untuk menyebarkan syiar. Yang berminat untuk terus bertanya tentang Islam, maka kami hadiahkan mereka sebuah AlQuran terjemahan bahasa Inggeris.




Tiga hari berkarnival di Summit USJ sehingga kaki terasa tak sanggup berpijak lagi…akhirnya beberapa sahabat mencadangkan menjenguk ke GINTEL pusat jualan mesin-mesin urutan anggota badan...memang sesuai sekali! Selepas memberi tunjuk ajar kepada beberapa sukarelawan karnival, kami mohon keizinan untuk menghilangkan diri ke GINTEL berdekatan. Ambil peluang mencuba pengurut kaki…..wah!! sedap banget nih. Sambil menanyakan tentang alatan ni, sempat bicara tentang kehidupan pemuda cina yang mempromosikannya. Siap introduce aweknya. Inilah masa terbaik memberi nasihat tentang gejala sosial yang semakin menggawatkan dunia remaja, belia dan dewasa tua. Dikelilingi beberapa salesgirls lagi di situ dan berkongsi cerita dengan mereka....macam sesi berceramah la pulak…hehe. MasyaAllah…..terasa sangat ruang dan peluang beramal diberi Allah di mana pun kita berada.


Sayugia diingatkan kepada sahabat-sahabat semua bahawa ……langkah kita baru sahaja bermula! Ambillah peluang mengislah dan berdakwah ini selagi hayat masih ada….

Isnin, Januari 26, 2009

DARI RS KE US...



Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin. Kembali ke tanahair tanggal 1 Jan 2009 bila kapal terbang Emirates mendarat dengan selamatnya pada jam 1.55 tengahari. Kali ini 10 hari ummi berada jauh dari keluarga dan teman-teman seperjuangan di sini. Sms bertubi masuk ke handphone..masing-masing menzahirkan kerinduan untuk ketemu. MasyaAllah…Subhanallah…beginilah nikmat ukhuwwah yang terjalin.

Teringat akhir tahun 2007, ummi memasang niat dan azam baru. Tahun 2008 akan menyaksikan RS ke persada antarabangsa! Adik junior lepasan Kolej Islam, Fatkuradzi sentiasa meniupkan semangat kepada ummi. Go Go RS International! Kadang-kadang ummi ketawa dengan telatahnya. But deep in my heart, this dream is for real! Itu tekad ummi. Subhanallah…AllahuAkbar! Kita merancang, Allah jua merancang. Namun perancangan Allah jualah yang terbaik. Bermula dengan mengekori Ketua Wanita JIM, Dr Harlina yang juga adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Induk RS, ke Singapura pada awal tahun 2008, maka RS terus mengorak langkah mencari peluang memajukan diri dan pembangunannya di serata pelusuk bumi Allah ini. Alhamdulillah! Inilah yang menjadikan ummi bertambah yakin dengan janji Allah.

Dan hendaklah ada di antara segolongan ummat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan merekalah orang-orang yang beruntung. (Surah Ali Imran : 104)


Sebaik sampai di daratan lapangan terbang George Bush Houston, Texas ummi dan kak Roha merafakkan syukur lillahi Taala. Enam belas jam perjalanan dari Dubai International Airport ..aduh repot banget deh! Seperti melalui kastam di Dubai untuk ke Houston, begitu jugaklah prosedurnya bila dah pun menjejakkan kaki di Houston sendiri. Very, very tight security. Alhamdulillah surat jemputan dari MISG (Malaysian Islamic Study Group) dan IMSA (Indonesian Muslim Society in America) ada ummi bawak sebagai bukti mengapa kami sampai ke Houston tu. Tak tahu la kenapa begitu sekali pemeriksaannya sedangkan untuk memohon visa di kedutaan Amerika, Kuala Lumpur ini telah pun melalui sesi temubualnya. Alhamdulillah, sahabat baru ummi di kedutaan, Tina membantu memberi sokongan(recommendation) yang tinggi terhadap usaha kami untuk bertemu pelajar-pelajar Malaysia di seluruh Amerika. Anyway, many thanks to Tina and Bill from the US Embassy in KL for helping us in the application for visa. Really love to see you again Tina..and hope you can speak bahasa melayu fluently by now.



Semasa beratur di pemerikasaan kastam, ummi sms Zabidi (ex junior di KIK) bagitau dah sampai. Zabidi called dan maklumkan ada students akan ambil kami di airport. Jenuh Ammar dan Alia menunggu rupanya. Kesian anak-anak ini… Masing-masing dah keletihan agaknya tapi yang pasti kami semua lapar! Ummi betul-betul rasa terharu atas hospitality yang diberikan oleh Ammar dan Alia…memastikan ummi dan kak roha cukup segalanya. I’m deeply touched….yang terbaik pasti menanti kalian insyaAllah..

Tiga sesi perkongsian dari kami dalam 3 hari. Nostalgia betul bila mengenangkan kehidupan ummi dan suami di Melbourne, Florida dan seterusnya berpindah ke Hartford, Connecticut di antara tahun 1985-88. Pergi berdua dan kemudian dikurniakan dua anak di sana…Subhanallah…Alhamdulillah…memang setiap langkah yang ditempuh semakin mendewasakan dan mematangkan kehidupan kami. Ada ummi kongsikan sedikit cerita suka duka membina keluarga dan membesarkan anak-anak semasa slot ‘Di sini kita bermula…’ Walaupun banyak kepayahan dan kesulitan yang terpaksa dilalui namun tak pernah sedetik pun ummi dan suami merasa terancam dan menyesal dengan apa yang telah Allah izinkan berlaku. Malah kami terpanggil untuk membantu sahabat-sahabat yang kami rasakan lebih memerlukan dari kami. MasyaAllah…di ketika itu ummi belum banyak mengerti soal rahmat Allah. Hanya tahu dan faham di sudut hati namun belum dapat merasakan sentuhan nikmatNya…AllahuAkbar…setiap apa yang dikeluarkan hasil titik peluh bagi saraan seisi keluarga kami diperuntukkan kepada mereka yang lebih memerlukan, rupanya Allah gantikan dengan rezeki dari sumber yang tidak kami sangka-sangkakan…Subhanallah…Alhamdulillah! Bahagianya menangisi waktu pemberian ini, syahdunya sampai terus ke dalam hati….terasa sungguh manisnya nikmat anugerah Allah SWT. Kadang-kadang kita lupa bahawa apa yang ada dan diberi kepada kita bukanlah hak milik total kita. Kita ingat kesusahan kita dan kita lupa bahawa ada lagi yang lebih tersiksa kehidupannya dari kita. Astaghfirullahal ‘Adzim… janganlah diambil nikmat sedar dari diri kita ini…Ya Rabb, jika kami di antara yang alpa, Engkau kejutkanlah kami, insafkanlah kami atas setiap kurniaanMu…Ya Ghafuur Ya Syakuur, jika kami di antara yang masih lupa, janganlah Engkau biarkan kami terus berseorangan… datangkanlah kepada kami sahabat-sahabat yang menginsafkan kami, ampunkanlah kami dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberianMu…

Slot bengkel bersama anak-anak perempuan (MISG) menambahkan keyakinan ummi bahawa suatu hari nanti anak-anak ini pasti menjadi pemimpin yang hebat..insyaallah! Kekuatan, keberanian dan kekreatifan mereka sangat teruja. Jika langkah baik ini terhenti disebabkan kesibukan belajar, ummi akan rasa kecewa. Sayang kalau kita tak menafaatkan kesungguhan yang telah berbunga di sini. Langkah mengislah dan berdakwah ini telah bermula! Di mana-mana pun boleh dilaksanakan tanggungjawab ini…semasa belajar mahupun bekerja nanti. Yang penting amal ini berterusan dan menjadi satu komitmen dalam diri untuk menegakkan yang haq. Tanamlah sifat berani, tawadhu’, rasa kasih dan prihatin serta sentiasa berlapang dada atas apapun senario yang kita hadapi. Pamerkan diri yang sangat welcoming …perindahkan diri dengan akhlaq Islam…insyaAllah ummi yakin ramai yang akan tertarik untuk bersama mendaulatkan Islam!

Sesi ummi berakhir dengan perkongsian dari RS. Memang berazam untuk bagi satu kelainan kepada anak-anak di sana. Not just about RS…I want them to to feel the urgency to do amar ma’ruf nahi mungkar wherever they are. At this time, ummi dah pun mula sakit tekak dan batuk-batuk. Maklumlah cuaca sejuk yang terasa hingga ke tulang. Makanan yang masuk ke perut pun sejuk macam baru keluar peti ais. Agaknya badan yang dah terbiasa dengan makanan panas dan cuaca panas, mulalah menjejaskan kesihatan ummi. Namun izin Allah, suara ummi yang serak berperanan pulak menzahirkan citarasa yang hiba dan terharu bila ummi membawa cerita-cerita dari Rasulullah SAW. Bukan ada maksud ummi untuk menyedihkan anak-anak dan sahabat semua cuma ummi perlukan sentuhan hati kalian demi mengembalikan perjanjian kita dengan Allah. Ummi ingin hidupkan panggilan-panggilan jihad dalam diri anak-anak. Ruang dan peluang merebut pahala yang sangat ummi harapkan untuk menjadi kenyataan dalam setiap kehidupan kalian. Kita punya misi utama untuk mendapatkan Jannah dan bertemu dengan Allah. Namun sudah tentu kita perlu tunaikan misi membangunkan tamaddun terlebih dahulu demi memartabatkan syiar Islam. Kita semua kena bersatu untuk membina peradaban ini. Dan, untuk saling mengukuhkan di antara kita, perlulah setiap dari kita menjadi yang terbaik pada setiap ketika dan waktu. Menjadi muslim yang mukmin. Menjadi ummat yang Rasulullah rindukan untuk bertemu…

Ramai anak-anak dari MISG dan sahabat-sahabat baru dari IMSA yang sempat ummi jumpa dan berkenalan di muktamar. Ummi jugak diberi kesempatan berkenalan dengan beberapa orang speakers lain yang jugak dari Malaysia…saudara Azman Hussain, YB Nik Nazmi, Dr Azly Rahman dan Fazrul . MasyaAllah..mereka semuanya hebat! Berpeluang juga ketemu sahabat-sahabat yang selama ini hanya berkomunikasi melalui emel. Zabidi dan Amir Razelan. Syukur Alhamdulillah. Khas untuk Nazirah Mohd Khairi yang kini mantan ameerah MISG, ummi ucapkan jutaan terima kasih kerana membantu menjadikan impian ummi menjadi kenyataan. Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua. We would never have made it without all of you …pasti dengan izinNya… Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin.



Untuk Abdul Hakim dan anak-anak semua….ummi sudah mula merindukan kalian. Terus doakan kami diberi kekuatan dan ketabahan dalam memenuhi amanah Allah ini. Moga kalian terus disuntik semangat juang yang tinggi.

Nukilan
ummiroses

Jumaat, Januari 23, 2009

CINTA:ANTARA FITNAH DAN FITRAH...



for more klik http://www.youtube.com klik cinta:antara fitnah dan fitrah

Ahad, Januari 11, 2009

DUBAI oh DUBAI....

Pemergian ummi dan seorang lagi sahabat baik ummi, kak roha ke KLIA malam 21 Disember 2008 telah dihantar oleh ahli keluarga dan jugak sekumpulan anak muda yang berjiwa kental, penuh semangat juang dan sentiasa mengukir senyuman di wajah mereka. Tak heranlah anak-anak muda ni menjadi idaman calon suami pilihan oleh kebanyakan anak-anak gadis…hehe…(mesti menyeringai la diaorang nih!) Paling mengharukan ummi, hampir kesemuanya adalah anak-anak muda yang duduk dalam kepimpinan pelajar…begitu sekali pengorbanan mereka. Makasih anak-anak!


Dah lama tak berjaulah jauh dari keluarga dan sahabat-sahabat. Masuk je kapalterbang hati ummi dah pun mulai sayu. Apa lagi mendengar suara anak yang mendoakan perjalanan umminya melalui rakaman di handphone. Enam jam perjalanan ke Dubai melalui Emirates Airline terasa singkat bila mata tertutup lena tanpa paksa. Letih sangat agaknya beberapa minggu sebelum berlepas. Macam-macam yang dikejar untuk disiapkan supaya perjalanan dan tugasan mencapai target misi.

Sampai lebih kurang jam 3 pagi Dubai melegakan ummi dan kak roha. Belum lagi masuk subuhnya…kesempatan terbaik untuk bermunajat. Kagum dengan prasarana yang sangat hebat di sana. Selesai solat kami pun bergerak menuju hentian teksi. Dingin cuaca di luar sambil membantu satu keluarga yang sarat tangannya dengan beberapa beg besar dan anak kecil sedang isterinya ke restroom sebentar. Heran agaknya dia tapi kemudian memberikan senyuman kepada ummi…agaknya kurang wanita yang sebegitu gelagatnya di sana…maklumlah wanita arab dan wanita melayu tentulah berbeza penampilan dan gerak keperihatinannya kot….hehe



Naik teksi terus kedengaran bacaan AlQuran dari peti suaranya. Sejuknya perut…Dengan susasan nyaman pagi serta belum kelihatan kesesakan lalu lintas, terdetik dalam hati… “alangkah damainya jiwaku ini…” Tak sampai pun setengah jam, dah pun tiba apartment yang kami mintak dihantar…penginapan sementara kami berada di Dubai. Tengok di meter teksi, 73 dirham…maka ummi pun terus bayar 80 kepadanya. Pemandu teksi mengambilnya dan terus bagitau kami “no change”. Takda inisiatif pun nak cari wang pulangan. Aduh! Terus hilang rasa nikmat damai tadi… Fikir ummi, jika pun tak ada wang kecik untuk dipulangkan sekurang-kurangnya boleh mohon maaf atau menunggu kami menukarnya dengan sahabat yang dah sampai dulu di sana. Itu saja ayatnya dari tadi dan terus pergi. Sangat tidak memberangsangkan semangat kami. Kalaulah begini gayanya hidup seorang muslim di negara yang menjadi kebanggaan orang Arab, maka punahlah akhlak Islam yang diterapkan oleh Ar Rasul kepada ummatnya. Contoh apa yang boleh diikut oleh non muslim jika terpedaya begini? Kemana menghilangnya nilai kejujuran…

Bertemu tuan rumah yang ingin ditumpang terasa malu pulak…hehe…rupanya kami menumpang rumah anak-anak teruna bujang (confirmed bujang tapi tak available kot…hehe). Dapat pulak bersarapan bihun goreng masakan airtangan tuan rumah…tengah kelaparan ni apa pun masuk tapi sebenarnya tuan rumah memang pandai masak. Kemudian mulalah kelihatan seorang demi seorang keluar dari bilik untuk makan pagi dan ke tempat kerja. Uisy! Rupanya 11 orang duduk serumah tu! Satu dari bilik mereka telah dikorbankan untuk kami berlapan…tiga dari kami berlepas ke Yemen menunaikan misi utama untuk International Islamic Fair (IIF) yang pada awal sepatutnya diadakan di Dubai. Inilah jugak antara sebab kenapa kami singgah tiga hari di sana. Memang niat dan tugasannya diagihkan bersama. Nampaknya kali ni tak kesampaian. Bila IIF ini ditukarkan penempatannya pada saat akhir, ummi dan kak roha memang kesuntukan masa untuk mengubah perjalanan. Namun semuanya adalah dengan kehendak dan izinNya….Akhirnya persinggahan ummi dan kak roha di Dubai menjadi acara meraikan anak-anak yang kami tumpang rumahnya. Bergilir menjadi tukang masak dengan menu yang membangkitkan selera sehingga ada yang membawa bekal ke tempat kerja….hehehe…betul-betul menikmati masakan dari Malaysia yang sudah lama tidak dikecapi. Kesempatan itu juga kami manfaatkan dengan bertaaruf dan berkongsi beberapa makanan rohani bersama mereka sebagai tanda kenangan untuk mereka pahatkan di dalam hati langsung dihayati dalam kehidupan mereka seterusnya insyaAllah. Anak-anak ini mungkin tak biasa terkumpul sebegini tapi ummi yakin they will treasure this moment deep in their hearts…


“Apa ni kak?”…persoalan yang keluar bila ummi bukakan Baklava untuk semua orang rasa. “Laa…nilah dia halawa Arab. Kalau balik Malaysia, buah tangan ini yang biasanya dibawak balik. Tak pernah makan ke? Pelik ni….kan dah lama korang duduk sini?” balas ummi. “Tak pernah tau pun makcik. Sedapla!”, beberapa anak-anak bujang rumah tu bagi respon. Agaknya sebab Baklava tu ummi pilih sendiri yang mana ummi suka, sekelip mata je ummi dah tak nampak rupanya atas meja…hehehe…tuan yang membeli pun tak merasa. Alhamdulillah…peluang untuk membeli lagi la kan… Dan inilah namanya rezeki. Kesempatan terbuka untuk membawa buah tangan ke Houston, ummi buat beberapa pilihan Baklava yang enak mewakili sahabat-sahabat yang ke Yemen jugak. Alhamdulillah, Baklava ini menjadi habuan untuk anak2 yang telah bersusah payah mengambil ummi dan kak roha di Houston. Untuk Ammar dan Alia. Mudah-mudahan buah tangan kecil ini menjadi penghubung ukhuwwah yang baru bermula.



Kepada Dr Azma, Fudhail dan family serta Hasnul dan Ani serta family yang baru kami kenali, walaupun telah berkali berhubung melalui emel dan talian telefon, ucapan ribuan terima kasih kerana sanggup berjumpa, memudahkan, meringankan dan melayan kerenah kami semua. Harap takada lah yang serik untuk menerima kami lagi jika kami ke sana lagi. Balik sini, hubungilah kami...insyaAllah kita makan-makan di sini pulak ye. Khas untuk anak-anak bujang di No 2204, Bahar 5, Jumeira Beach Residence, Dubai Marina, Dubai, ummi ucapkan Jazakumullahu Khairan Kathira di atas segala kebaikan dan bantuan kepada kami semua. Moga Allah tambahkan rahmat dan keberkatanNya kepada kalian…dan semoga kalian beroleh isteri-isteri yang solehah, membina keluarga yang di redhai Allah serta melahirkan zuriat pejuang yang sentiasa berusaha keras memartabatkan syariat di muka bumi Allah ini. Pesan ummi, bergeraklah menujuNya walau di mana pun jua kalian berada kerana hidup mati kita adalah dengan izin kekuasaan Allah yang empunya kerajaan langit dan bumi. Sedang kita hanyalah hambaNya yang sentiasa mengharapkan maghfirah dariNya dan mendambakan cintaNya yang satu…..biarlah kita dijemput hanya keranaNya….Teruslah berjuang hingga bertemu syahid!

Nukilan
ummiroses

Followers

Linking to me from where??.....

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

AKTIVITI RS