Solat Tiang Agama


“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)

Rabu, April 30, 2008

KONGSI RASA DAN KASIH

Seronoknya kalau dapat badan ni diurut sekejap. Rasa macam semua urat saraf dah keras. Bangun tidur rasa tegang di leher dan belakang. Aduh…Kena pulak minggu ni agak sibuk dengan kerja-kerja di luar pejabat. Jadi drebar tu perkara biasa..no hal punya. Cuma yang tak tahan tu bila terpaksa mengharungi kesesakan yang melampau di Lembah Klang ni….(sekadar luahan rasa ni….)


26 April – Satu hari sahaja ada dua sidang ceramah dengan anak-anak. Pagi tadi bersama pelajar Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh yang sedang menjalani kem ibadah. Ummi kongsikan beberapa pengertian tentang ‘Remaja dan Harga Diri’. Petang pulak menjadi panelis untuk forum ‘Di Persimpangan Cinta dan Cita-Cita’ bersama anak-anak yang bakal menduduki institusi pengajian tinggi. Memang seronok dapat bersembang santai dengan anak-anak yang walaupun kelihatan sangat letih tapi kalau bab cinta ni siapalah yang sanggup tertidur…hehehehe.


Semalam. Jumaat 25 April, Ustazah Fauziah Sani, seorang guru yang sangat terkenal masa di kolej menalipon ummi. What a surprise! Pakdin, super senior ummi di kolej telah menziarahi beliau di Arau, Perlis. Tu yang ummi dapat terima panggilan dari Ustazah kesayangan ummi ni. MasyaAllah…Alhamdulillah…gembira tak terkira rasanya! Masih terkenang-kenang dan terdengar-dengar suaranya. Yang kelakarnya tu bila beliau memulakan perbualannya dengan bahasa arab dan ummi tak paham…hehehe…apala nak jadi dengan ummi ni…memalukan betul! Bukannya susah sangat tapi dah tak pernah berbual menggunakan bahasa arab ni, mulalah panik tak menentu. Tapi yang lebih terkesan apabila ditanya apa tugas hakiki ummi….ummi jawab “jadi daie, ustazah”…terus ustazah mendoakan…sebaknya ummi ketika tu…seorang ustazah yang sudah puluhan tahun dulu meninggalkan Kolej Islam Kelang tapi kata-kata nasihatnya sentiasa menghidupkan minda, emosi dan spiritual ummi. Emmm…KIK…nostalgia buat ummi dan rakan-rakan.


Bila bercakap tentang menjadi seorang daie ni, rasanya dulu-dulu tak termasuk dalam senarai cita-cita. Entah kenapa ianya bukan menjadi salah satu daripada karier pilihan. Mengulas tentang cinta dan cita-cita, cubalah kita renungkan betapa sebenarnya cinta kepada Allah dan ar Rasul yang membawa kita dapat mengejar cita-cita hari ini. Subhanallah…Alhamdulillah…


29 April – Saat yang dinanti-nantikan untuk bersama banduan di Penjara Wanita Kajang. Alhamdulillah, kesempatan yang sangat baik untuk ummi beri suntikan semangat hijrah kepada diri yang telah terpenjara dalam kemungkaran yang nyata sebelum ini. Ummi telah menyediakan sebuah presentasi bertajuk ‘Masih Ada Yang Sayang’…cuba membawa mereka meneroka kembali hala tuju hidup yang sebenarnya. Suasana yang pada awalnya terasa agak distance, akhirnya menjadi santai dan selesa bila ummi memulakan panggilan ‘kakak, adik dan anak-anak’ kepada mereka. MasyaAllah…dengan uniform pakaian hijau, merah, putih dan ungu (sebagai tanda tahap penahanan mereka), ummi menampakkan kepada mereka betapa indahnya alam anugerah Allah ini mewarnai kehidupan. Siap dengan beberapa tayangan video dan lagu-lagu yang memang dipilih untuk menyentuh perasaan mereka sebagai pencetus pencarian di mana sebenarnya diri mereka sekarang ini…Alhamdulillah….mudah-mudahan airmata yang mengalir bersama mereka ini insyaAllah, menjadikan mereka benar-benar bertaubat kepada Allah. Ya Ghafuurur Rahiim…terimalah taubat kami… dan hindarkanlah dari azab api neraka pada wajah-wajah yang dibasahi airmata keinsafan ini…


30 April – Firdaus dan Faizi, dua jurulatih hebat dari ESQ telah melapangkan masa untuk bersama anak-anak ummi di RS Sg Buloh. Surprise! Wah…begitu terperanjat anak-anak ummi di RS...semuanya control ayu supaya tak ada yang terlompat menyambut kedatangan yang dinanti-nantikan selama ini. Ada wajah-wajah yang begitu kaget sehingga tak terukir kata-kata dibibir… Sengaja ummi tak bagitahu supaya anak-anak dapat kejutan yang akan terpahat lama di sanubari masing-masing. Ibu mana yang tidak gembira melihat anak-anaknya teruja dengan keindahan Islam! Terima kasih yang tidak terhingga ummi ucapkan kepada Firdaus dan Faizi yang sudi melapangkan diri bersama kami di RS.


MasyaAllah...Alhamdulillah…begitu bersungguh sekali abang Firdaus berkongsi ilmunya di sini…dan ummi kena mengaku bahawa anak-anak ummi ini sangat-sangat terkesan hati mereka menerima dan mengakui bahawa hanya kecintaan kepada Allah yang bisa mengembalikan nilai-nilai hidup sebagai hamba Allah. Menunaikan janji untuk menjadi khalifah Allah mesti dipenuhi selagi hayat pinjaman Allah ini masih belum ditarik kembali olehNya. Mudah-mudahan hati mereka akan terus hidup dipenuhi cahaya nikmat Islam dan nikmat iman….


Bila melihat kesungguhan sahabat dan anak-anak seperti Firdaus dan Faizi ini, ummi kena memperbaharui semula azam untuk jadi da’ie yang bukan saja berpegang kepada prinsip malah kontemporari dan professional...insyaAllah. Perlu ada sahabat-sahabat dan anak-anak yang sentiasa mengingatkan, menasihatkan dan menegur kesilapan supaya kerja-kerja islah dan dakwah ini kesampaian hingga dipanggil Allah nanti. Ya Rabb…sampaikanlah cita-cita kami ini. Amiiin ya rabbal’aalamiiin.

Sebagai renungan bersama…..

Sabda Nabi SAW, “Amal soleh yang kalian lakukan tidak bisa memasukkan kalian ke Syurga”. Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimana dengan Engkau ya Rasulullah ?”. Jawab Rasulullah SAW : “Amal soleh saya pun juga tidak cukup”. Lalu para sahabat kembali bertanya : “Kalau begitu dengan apa kita masuk Syurga?”. Nabi SAW kembali menjawab : “Kita dapat masuk Syurga hanya karena rahmat dan kebaikan Allah semata”.


nukilan

ummiroses @ rosmawati zainal

Sabtu, April 19, 2008

TAK TERTANGGUH WALAU SESAAT PUN...

Terima panggilan hampir jam 6 petang waktu berjalan keluar dari ofis, “Ros, kak Sofi rasa tak sihat ni …” Terus kak Ros jawab “ok kak Sofi…jap Ros datang ambik kak Sofi ye, tunggu Ros…jap lagi Ros sampai…” Tak sampai setengah jam agaknye kak Ros tiba depan rumah kak Sofi, kakak kepada suami kak Ros dan terus menjemputnya masuk ke dalam kereta.

Dalam kereta, kak Ros bertanya, “kak Sofi rasa tak sihat macammana ye?” “Rasa letih sangat Ros…penat naik turun tangga di LRT agaknya. “ Terasa perlahan benar suara kak Sofi kali ni. Terasa sayu pulak. Elok benar kalau diajak makan bersama. Alhamdulillah sebelum mengambilnya, kak Ros singgah kejap di gerai dan membeli lauk kegemaran sebagai tambahan lauk pauk di rumah. Lagi pun dah lama benar tak berjumpa dengan kak Sofi. Bekerja setiap hari di Dewan Bahasa dan Pustaka dan hujung minggu pula ke Rawang bermain dengan cucu sulungnya di sana. Baru empat hari lepas kak Sofi menyambut hari lahirnya langsung menamatkan kerjayanya di ofis…pencen pada umur 56 tahun. Agaknya kak Sofi menunggu-nunggu saat ini untuk merehatkan dirinya dari mengharungi kegawatan pagi dan petang berebut-rebut menaiki LRT dan bas berulang alik dari rumah ke ofis. Tentu sangat meletihkannya.

Perasaan ingin tahu tentang kesihatannya membuat kak Ros terus bertanya samada beliau ada muntah tadi. Jawapannya “ada sekali” menjadikan kak Ros mengesyakki mungkin ada kena mengena dengan jantungnya. Namun, kak Sofi terus bercerita tentang perjumpaannya dengan suami kak Ros pagi tadi apabila beliau meminta adiknya itu menemaninya ke bank. Alhamdulillah..sempat mereka berdua makan pagi bersama. Kak Ros membiarkan kak Sofi bercerita tanpa menyampuknya…kelihatannya seperti sedang menzahirkan kegembiraannya.

Bila keadaan senyap, kak Ros ambik kesempatan bertanya “kak Sofi ada tak rasa sesak nafas ye?”… soalan yang tak mendapat jawapan…hanya kedengaran bunyi tarikan nafas yang kuat seperti dengkuran tidur. Terus kak Ros memalingkan muka kepada kak Sofi yang berada di sebelah tempat duduk kak Ros yang masih memandu ini. Eh..kak Sofi tiba-tiba menjadi kejang seluruh badannya….masyaAllah! Bila mukanya bergerak memandang kak Ros kelihatan mulut yang sudah berbuih. “Astaghfirullahhal ‘Adzim… kak Sofi kenapa ni?” Kak Ros terus memegangnya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memandu menuju klinik yang berhampiran. Segala zikir yang kak Ros ingat dibacakan sekuatnya dan terasa badan ini makin menggigil.

Sebaik sampai klinik, kak Ros meminta tolong beberapa orang yang sedang berada di kedai berhampiran untuk membantu mengangkat kak Sofi masuk ke dalam klinik. Doktor berusaha keras memberi rawatan sewajarnya. Kak Ros membisikkan syahadah di telinga kak Sofi. Doktor mintak kak Sofi segera dihantar ke hospital berdekatan. Diangkat semula kak Sofi ke dalam kereta kak Ros oleh beberapa orang yang membantu tadi. Sebelum bergerak, doktor telah memegang tangan kak Ros dan berkata perlahan, “kak, saya tak jumpa nadinya tadi….”. Dalam hati kak Ros terus berdoa …Ya Allah, bantulah hambaMu ini…

Dengan dibantu oleh seorang sahabat JIM Gombak, Salman telah meminta kak Ros beralih tempat duduk supaya beliau yang memandu kereta untuk dibawak ke Hospital Selayang. Kak Ros sempat singgah mengambil Mashitah, anak kak Ros di rumah yang terus memangku kak Sofi. Dalam masa yang sama, Dr Samsuddin juga ahli JIM Gombak sekejap-sekejap menelefon kak Ros untuk memastikan kak Ros tidak sulit menghadapi keadaan yang mencemaskan ini. Sampai di hospital, kak Sofi telah disahkan meninggal dunia beberapa ketika sebelum tiba di sana. Adam, anak kak Sofi menangis sekuatnya kerana terkilan tak dapat menunaikan hasrat berjumpa emaknya.. Kak Sofi meninggalkan dua anaknya Adam dan Ani sebagai yatim piatu kerana suaminya telah pun pergi mengadap Ilahi 11 tahun dulu. Innalillahi wainna ilaihiraaji’uuun. Jenazah kak Sofi selamat dimandikan malam itu juga dan dikebumikan pagi esoknya. Alhamdulillah… segalanya telah pun selamat disempurnakan.

Ketika munajat kepada Yang Maha Kuasa, Yang Maha Menghidupkan lagi Maha Mematikan…terasa begitu hampirnya Malaikat Maut dengan kak Ros pada saat kak Sofi menghembuskan nafas yang terakhir. Rupanya diri ini bersebelahan saja dengan hamba Allah yang taat menunaikan perintah mengambil nyawa manusia. Airmata ini tidak lagi boleh dibendung-bendung…betapa ia tidak melewatkan sedikit pun janjinya kepada Allah. AmanahNya menjemput kak Sofi telah tertunai tanpa diganggu. Siapa yang berani menyekat kedatangannya dan menghalang jemputannya? Subhanallah! Allah telah memilih kak Ros untuk merasai ketibaannya. Rasa begitu dekatnya dengan kematian.... “Sudah adakah bersamaku bekalan mengadap Allah ini nanti? Apakah aku bisa menjawab persoalan-persoalan sketsa kehidupan yang akan dibentangkan di hadapanku? Sedangkan mulut akan terus membisu….tiada alasan lagi untuk menidakkan kenyataan demi kenyataan yang dipertontonkan terhadap diriku! Bagaimana pulak insan lain yang ku kenali sebelumnya…adakah mereka akan membantu menyelamatkan diriku dari terus terhumban dari azab Allah? Cukupkah amalan yang sepatutnya menjadi penyumbang terbesar menaikkan saham sebagai pemberat timbangan untuk sampai mencecah kakiku ke dalam Jannah nanti? Cukup solehkah anak-anakku untuk diterima doa mereka di saat aku menantinya di alam barzah nanti? Macam-macam persoalan mula bermain di kepala…

Bagi sahabat-sahabat dan anak-anak yang dah lama kenal, maafkan kak Ros/ummi di atas segala kesilapan, kesalahan dan kealpaan selama ini Untuk sahabat yang baru ditemui baik di alam realiti atau di forum maya, mungkin ada yang tidak berupaya menerima kak Ros seadanya, kak Ros mohon berbanyak ampun dan maaf. Jika tidak kerana keluarga dan sahabat, mungkin jugak kak Ros akan terus leka dengan kepalsuan dunia… Alhamdulillah. Dengan izinNya jugak, kak Ros dipertemukan dengan segala macam ragam manusia…belajar mengharunginya, mendidik diri untuk kembali kepada Allah bukan hanya ketika menghadapi kesusahan malah lebih-lebih lagi pada saat gembira menemukan penyelesaiannya. Subhanallah…Ya Allah…jadikanlah kami ni hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur.

Umur kita mungkin sekadar ini atau mungkin lebih lagi…tak tahu bila akan dipertemukan lagi baik di sini atau di sana. Moga kita semua dijemput Allah dalam husnul khatimah…AlFatihah untuk kakak ipar kak Ros, Sofiah Binti Abdul Hamid - 16 April 2008 M / 9 Rabiulakhir 1429 H.



nukilan
ummiroses @ rosmawati zainal

Selasa, April 08, 2008

INDAHNYA PERTEMUAN (khusus untuk anak-anak...)

Kebelakangan ini ummi mengejar masa untuk menghambat diri menepati kerja-kerja yang telah dijanjikan. Makin dikejar makin terasa singkatnya pusingan masa anugerah Allah ini. Ya Allah ya Rahman ya Rahiim…berilah kelapangan kepada hambaMu ini…


Alhamdulillah, dengan izin Allah baru-baru ini ummi telah dapat melaksanakan dua tuntutan dan tanggungjawab untuk lawatan dan ziarah. Pada 22 Mac lepas, mewakili Wanita JIM Pusat, Dr Harlina(Ketua Wanita), Roha (Setiausaha Kehormat), Mas Ahmah (JK Dana), dan ummi (JK Raudhatus Sakinah) telah dapat memenuhi lawatan kerja di Singapura khususnya melawat pusat jagaan, kolej pendidikan dan pusat dakwah di bawah kelolaan Persatuan Muhammadiyah. MasyaAllah..masyaAllah…terpegun rasanya bila menemukan ada persatuan sebegini hebat berada dalam sebuah negara yang bukan melaksanakan tuntutan syariat namun masih dapat mengenengahkan keindahan Islam di tengah-tengah kota ini. Aduh…malunya ummi bila mula memikirkan tahap mana usaha kita ini dalam mengamalkan tuntutan syariat…


Kagum benar ummi terhadap layanan mesra jawatankuasa yang menyambut kami. Dua wanita hebat, Zaleha dan Fatheloone bersama suaminya Sudirman. Seawal jam 3 pagi mereka telah sedia menunggu kami melepasi tambak Johor…masyaAllah... muka mereka masih manis dan senyuman tetap berada di bibir at that hour! Menghantar kami ke hotel yang berkenaan dan mengambil kami kembali setelah kami sudah cukup rehatnya. Kemudian sentiasa bersama membawa kami ke sana kemari memenuhi agenda lawatan dan presentasi Dr Harlina yang ada kalanya ditangkap muat sebagai bidan terjun untuk memberi tazkeerah. Subhanallah…Alhamdulillah…Allah kurniakan sebuah pertemuan yang sangat berharga bagi sebuah perkenalan yang baru bermula.



Di kesempatan minggu seterusnya ummi telah memenuhi tuntutan ziarah seorang sahabat yang sedang menghadapi penyakit yang agak kritikal. Tak sangka ummi akan dapat sampai destinasi ini namun siapa boleh menduga perancangan Allah…Ummi bersama 3 orang lagi sahabat (Hj Jaafar, Kak Fatimah dan Abdullah) mewakili ALKIS (Alumni Kolej Islam) dengan penuh rasa ta’azim diberi penghormatan untuk bertemu sahabat baik kami Dr Zainudin Jaffar dan keluarganya di Brunei Darussalam pada 28 dan 29 Mac lepas. Sepanjang berada di sana, ummi dan sahabat lain rasa sangat terhimpit perasaan berhadapan dengan Dr Zainudin yang baru dikesan menghadapi kanser paru-paru advance stage. Perasaan ini mula terungkai sikit demi sikit bila dapat berbual panjang, mendengar kata-kata yang sangat positif dari Dr Zainudin sendiri. “Kita kena terima takdir Allah tapi dalam masa yang sama kita kenalah berusaha mengubatinya. Saya ambik ini sebagai satu hikmah Allah dan kita terimalah kurniaan Allah ini…” MasyaAllah…rasa sangat bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk sampai ke sana dan dipertemukan dengan seorang yang berjiwa besar dalam memartabatkan syariat Allah ini walau di mana pun beliau berada! Terima kasih khusus kepada ALKIS kerana telah membiayai pemergian ummi ke sana mengetuai delegasi unit kebajikan ALKIS. Doa kami moga Allah kurniakan yang terbaik buat keluarga solehah ini dan dipermudahkan serta diringankan segala bebanan dan kesakitan. Jika diberi kesempatan ummi memang berhajat untuk sampai lagi ke sana, mengadap sahabat ini dan belajar menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini dengan penuh rasa yakin terhadap janji-janji Allah. Mudah-mudahan akan lahir lebih ramai lagi sahabat seperjuangan yang berjiwa kental seperti Dr Zainudin dan keluarganya ini. Sungguhpun pertemuan ini terlalu singkat tetapi cukup menginsafkan kita yang diberi kesihatan yang baik ini…dugaan jugak sebenarnya tu!


Teringat pulak ummi kepada anak-anak yang dipertemukan melalui perbagai cara dan gaya perantaraan. Ada anak-anak dari USIM yang Allah pertemukan dengan bekerjasama dalam satu projek perancangan kewangan (alamak! Macam takde kene mengena dengan kerja-kerja ummi di Raudhatus Sakinah…). Dalam masa yang sama anak-anak USIM yang berada di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Jabatan Dakwah dan Pengurusan Islam ini kelihatan sangat berwibawa untuk membawa mesej-mesej amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam pengamalan mereka. Alhamdulillah, ummi telah menggabungkan tugasan mereka ini menjadi beberapa misi utama, mencari dana untuk RS dan juga menyebarluaskan syiar Islam kepada masyarakat. Beruntungnya dapat memanfaatkan masa dan usaha bersama anak-anak ummi di USIM ini.


Sebelum ini ummi telah bertemu dan bermesra dengan sahabat-sahabat Abdul Hakim, anak sulung ummi. MasyaAllah…anak-anak yang hebat dari segi amal islah dan dakwahnya. Susah nak ketemu anak-anak sebegini di zaman sekarang. Selalu berada di rumah ummi di waktu Abdul Hakim balik bercuti dari kolejnya. Yang bagusnya bila ada kelapangan, anak-anak ini akan mencari peluang berprogram bersama adik-adik di sekitar kawasan perumahan ataupun di sekolah lama mereka di Gombak ini. Emmm…kiranya macam dah lama jugak ummi tak nampak mereka berkumpul ramai-ramai sebab masing-masing tersangat sibuk dengan jadual ketat pembelajaran. Namun Alhamdulillah, ada seorang dari mereka ini yang sentiasa menghubungi ummi dan memantau kegiatan ummi…he he he…bagus jugak macam tu, sekurang-kurangnya ummi dah ada pelapis untuk membantu ummi dalam kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar. Pertemuan dan perkenalan yang membrangsangkan!


Ada pertemuan luarbiasa yang sentiasa tersemat di hati ummi…pertemuan di forum maya. Perkenalan yang tak perlu bersua muka tetapi ukhuwah yang terbina, sangat menghidupkan suasana berkeluarga…Subhanallah…Alhamdulillah…Memang pertemuan sebegini susah dijangka…tiba-tiba sudah bertemu kasih dengan anak-anak ni...masyaAllah…Alhamdulillah…Ada yang bertemu kerana sajaknya untuk RS dan ada yang bertemu kerana membaca buku ummi. Satu yang paling mengesani hati ummi adalah pertemuan untuk mendapatkan bahan kempen Anda Bijak Jauhi Zina. MasyaAllah…anak yang berusaha menterjemahkan kebaikan hidup melalui kempen yang telah menimbulkan kontroversi bagi sesetengah pihak. Jarang yang berani ke depan menangani permasalahan gelojak kehidupan namun anak ummi yang satu ini memang hebat. Tengok saja blognya ummi sudah rasa satu kebersamaan dalam mengharungi kerja-kerja amar ma’ruf nahi mungkar ini. Alhamdulillah.


Ummi rasa sangat terhibur sejak akhir-akhir ini dengan gelagat anak-anak ini. Dalam masa yang sama menghubungkan kembali silaturrahim di kalangan sahabat-sahabat lama dan baru…Ummi rasa sangat bertuah diberi kesempatan oleh Allah untuk melalui pertemuan demi pertemuan. HikmahNya hanya Allah yang lebih mengetahui. Namun yang penting, satu ikatan ukhuwah yang semakin kukuh telah terjalin di sini. Betapa ummi mengharapkan pertemuan ini tidak akan berakhir dengan kejauhan yang menjadi persempadanan untuk kita terus berkasih sayang kerana Allah. Di samping keluarga tersayang, Allah kurniakan ummi ramai anak-anak dan sahabat-sahabat yang menjadi pendorong gerak kerja ummi…moga kita semua terus menjadi hamba Allah yang bersyukur. Rasa satu kepuasan bila dapat bertemu dan menghilangkan rindu kepada sahabat-sahabat dan anak-anak ummi ini….Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin.


nukilan
ummiroses @ rosmawati zainal

Followers

Linking to me from where??.....

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

AKTIVITI RS