Solat Tiang Agama


“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)

Ahad, April 19, 2009

JOM PIKIR SAMA-SAMA....

Bismillahirrahmanirrahiiim

Sebagai peringatan kepada semua....

Daripada Surah Al'Asr :
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Ummi menjemput anak-anak membaca penulisan dari blog Pengembara Jalanan yang ummi rasa sangat baik untuk anak-anak fikirkan dan hayati..... jadikanlah iktibar dalam membina kehidupan kalian mencapai keredhaan Allah SWT.


Apa ni???... Peluk Irma tak jejas ekonomi negara - Nabil

Terima kasih kepada TV, Radio dan Surat Khabar. Kerana jasa mereka maka negara kita telah berjaya melahirkan pelawak yang dikatakan serba boleh iaitu Nabil. Maka dicanang jualah akan nama Nabil hampir tiap-tiap hari. Maka bintang Nabil semakin cerah selepas berjaya menjadi juara rancangan Raja Lawak Astro. Maka banyaklah slot di tv diisi oleh Nabil.


Saya bukan anti Nabil. Saya tak minat pun Nabil. Tapi ada jugalah dengar ayat-ayat Nabil yang boleh dipakai iaitu " lu fikirlah sendiri". Tapi bila saya tengok rancangan kendalian Nabil tak ada pun rasa yang terlebih istimewa. Rancangan pondok-pondok dan rancangan waktu pagi bersama Raja Azura (minta maaf tak ingat nama rancangan tu) lebih kepada membawa hiburan yang melampau-lampau. Rancangan yang melalaikan orang Melayu dan hiburan semata-mata. Tidak lebih dari itu.

Orang yang menonton dan penonton yang hadir hanya pergi untuk ketawa dan bersantai-santai. Dan bukan untuk berfikir pun tentang masalah negara, ekonomi dan apa sahaja. Dan itulah perancangan tv-tv kita masa sekarang ini. Bukan untuk membentuk masyarakat yang lebih berfikir, berpendidikan dan prihatin tentang nasib bangsa yang semakin mencengkam. Masalah agama dan moral yang semakin membarah dalam masyarakat. Yang penting berhibur la sampai ke tua-tua. Target penonton daripada budak dari buaian sampailah nenek yang hanya menunggu masa dipanggil Illahi.

Minta maaf, saya tak tengok pun Anugerah Berita Harian. Tak tahu pun Nabil terpilih sebagai Bintang Paling Popular Se Malaya. Iyalah, mereka-mereka yang memilih sudah tentu gembira, tapi saya tak campur. Tapi apabila membaca Utusan Malaysia dengan kenyataan Nabil yang pada saya menghina agama saya, saya terpaksa campur. Ramai yang kononnya terkejut dengan tindakan spontan Nabil yang spontan memeluk Irma apabila diumumkan sebagai pemenang.

Yalah, mereka biasanya memeluk anak gadis orang semasa berlakon sahaja. Atas nama lakonan dan kerana seni, maka hukum agama dan soal halal haram terpaksa diketepikan. Untuk menghayati lakonan istilah mereka. Tetapi lebih kurang ajar apabila langsung tiada perasaan bersalah daripada Nabil. Jika jahil sekalipun, mintalah maaf. Belajarlah. Janganlah cuba mempertahankan tindakan yang sememangnya dilarang oleh agama.

Irma : Bakal isteri ....

Artis kita sopan ke? Mimpi lah. Berpelukan perkara biasa. Jika remaja ingin memilih idola, utamakanlah agama bukannya hiburan. Dek kerana kita buta dengan hiburan, maka kita pilihlah idola yang sudah sedia sesat, untuk kita sama-sama sesat bersama mereka. Dan kenyataan Nabil yang paling kurang ajar bagi saya apabila mengucapkan - 'Saya tak boleh cakap apa-apa kalau tindakan saya itu boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang sehingga menjejaskan ekonomi negara.'

Memang kurang ajar dan sungguh biadap sekali. Langsung tiada perasaan bersalah dan sensitif dengan perasaan umat Islam. Lalu ada ke nanti pemimpin nak tegur. Minta Nabil minta maaf? Jika orang sebiadap ini dijadikan idola remaja kita, maka tidak hairanlah nanti semua remaja kita akan mengatakan memeluk wanita di khalayak ramai itu tiada apa-apa!


Mari kita ambil intisari temuramah dia dengan Utusan.

i) tak rasa menyesal sedikit pun?
Saya memang tak
menyesal berpelukan dengan dia. Memang saya sayang sangat pada dia. Mungkin tempatnya sahaja yang tidak kena.Saya tak kisah apa orang nak cakap.

ii) Adakah Nabil akan minta maaf?
Saya tidak membuat kesalahan yang besar. Kalau saya minta maaf orang akan ingat hina sangat perlakuan saya itu terhadap dia. Saya cuba ingin berkongsi perasaan seronok dengan orang keliling sahaja

iii)Bukankah ada cara lain untuk meraikan kegembiraan, kenapa berpelukan itu juga yang dipilih?
Betul, tapi semua itu berlaku dalam keadaan terkejut dan dia sendiri berada di sebelah saya.
Berpeluk itu hanya sekadar ekspresi perasaan dan tak lebih daripada itu.Saya bukan berpeluk dalam perasaan yang memberahikan. Dah siaran langsung dalam televisyen, takkan saya nak peluk dan buat hubungan kelamin pula.

iv)Tidakkah ini akan memberikan kesan yang buruk kepada Nabil nanti?
Saya tak boleh cakap apa-apa kalau tindakan saya itu boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang sehingga menjejaskan ekonomi negara. Kalau nak diikutkan banyak lagi siaran televisyen yang memaparkan adegan yang tidak sepatutnya di kaca televisyen termasuklah adegan ranjang. Itu sebenarnya lagi buruk daripada apa yang saya lakukan. Saya yakin orang Malaysia mampu berfikir dengan waras dah tidak akan membuat pengadilan yang teruk kepada saya. Bagi saya kanak-kanak akan melihat saya dari sudut yang lain.

v) Mungkin penonton fikir Nabil dengan Irma sudah berkahwin sebab itu berpeluk sakan. Apa sebenarnya status Nabil dan Irma sekarang?
Dia kekasih saya. Saya memang sayang sangat dengan dia. Tapi baru empat lima bulan berkawan rapat.

vi)Bila lagi nak kahwin?
Saya rasa belum tiba masa untuk saya kahwin. Kalau boleh saya nak bina dulu kerjaya saya sehingga ke peringkat yang tertinggi. Hidup sebagai insan seni ini ada pasang dan surutnya. Kalau kita tak bersedia terimalah padahnya nanti. Lagipun saya lebih suka menyiapkan keperluan ibu dan ayah serta keluarga terlebih dahulu. Saya nak hantar mereka pergi haji dan selesaikan apa yang patut dahulu.


Kejahilan yang mengigit orang Islam sehingga ke tahap menghina sebegini tiadakah orang yang sudi melarang. Malang, jika ramai pula nanti di luar sana yang akan menerima pakai hujah-hujah 'alim' dari Nabil ini. Tidak hairan jika Nabil pun boleh jadi mufti pasal dah buat keluar fatwa sendiri.

Beristighfarlah dan jagalah kesucian agama ini. Jika kita tidak tahu, belajarlah. Jika terpesong baliklah ke pangkal jalan. Janganlah sampai membuat kenyataan mengarut yang langsung bercanggah dengan agama Islam. Sesungguhnya kita singgah di dunia ini sementara, akhirat lah destinasi kekal abadi. Temuramah penuh sila ke sini.

Dipetik dari http://azzlie.blogspot.com/2009/04/nabil-cakap-peluk-irma-tak-jejas.html
Terima kasih atas perkongsian yang sangat baik ini azzlie....moga terus cemerlang dunia dan akhirat!

Jumaat, April 10, 2009

TERIMA KASIH...

Dalam kesibukan meyiapkan projek research, sapaan ummi dalam google talk membuatkan kerinduan pada ummi, ibu, k'misah, rakan di HQ JIM bertandang, rindu rasanya dengan kesibukan aktiviti islah dan dakwah yang mencabar disana...rindu sangat rasanya nak mengikut ummi ke sana sini berceramah, jadi assistant peribadi ummi dalam setiap ceramah...sedar tak sedar cepat sungguh masa berlalu, dah 3 bulan tinggalkan KL berjauhan dengan ummi...dah lama juga tak menulis dalam blog ummi ni...yela bila dah berjauhan camni, jadi kurang tahu sikit perkembangan aktiviti ummi di sana (ummi pun dah semakin sibuk sekarang, nak ber ym pun jarang-jarang dapat), kalau dulu boleh ke sana ke mari ikut ummi ke program, nak menulis pun banyak la juga idea nye...ni bila dah ada komitmen kerja dakwah pun slow sikit (ni recheck balik sebab musabab, jangan sampai tahap futur sudah)...tapi harapnya itu peralihan seketika, lepas ni akan lebih semangat dan proaktif lagi insyaAllah..doakan

So nak menyibuk apa dalam blog ummi kali ni ye?...ermmm not so much idea to write cuma nak menyampaikan amanah ummi tersayang ni...ummi minta cerita pasal kawin kita dalam blog ummi...adusss malu la pulak...

Just nak ambik kesempatan untuk ucapkan ribuan terima kasih kepada individu-individu yang telah meluangkan masa hadir ke Majlis Kesyukuran Perkahwinan Hasmah & Hafis pada 16 Mac 2009 dan juga pada 19 Mac 2009 lalu...tak lupa terima kasih kepada individu yang telah mengirimkan ucapan tahniah beserta doa melalui SMS, email dan yang menghantar hadiah by mail...terima kasih yer, rasanya tak sempat nak balas semua SMS yang masuk, sori kalau tak terbalas tu...terharu rasanya bila melihat tetamu istimewa jauh dari KL berada depan mata dalam majlis tu...ummi, ibu, k'misah terima kasih ek (one day trip je tu), lain kali datang lagi ye...thank you very much to k'an juga sebab tolong entertain tetamu istimewa ni...tak lupa abdul muhamimin yang tolong angkat-angkat pinggan mangkuk, makanan semasa majlis...kepada ija (khadijah yahya), thanks sebab sanggup curi masa datang, setelah 8 tahun tak bersua, duk plan selalu, at last kita berjumpa juga at my wedding...kepada adik usrah Karisma USM (ima, zati, hajar, zira, umi, shu, kira dan mai) yang telah banyak menolong sejak dari sebelum majlis terutama dalam pembikinan slide show yang sangat menarik pada malam tu...hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian...(akak doakan moga kalian semua akan ikut jejak langkah akak ni very soon, amin...hehe)...juga terima kasih kepada semua yang hadir - k'joy dan keluarga, k'das & keluarga, k'nik & keluarga, cikgu dari SMACH (ustazah Azizah & cikgu Norizam), saudara jauh dan dekat yang tak tersebut namanya disini...dan paling tak dilupakan, dedikasi terima kasih tak terhingga kepada dua insan tersayang yang telah bertungkus lumus dalam penyatuan dua buah keluarga dan dua hati ini...syukran!



Kepada kawan-kawan dan kenalan yang tidak dapat hadir kerana kekangan waktu (hari bekerja), bagi pihak diri dan keluarga mohon maaf kerana terpaksa mengadakan majlis pada hari bekerja...mohon maaf dan semoga doa yang kalian kirimkan kepada kami diaminkan juga oleh para malaikat, insyaAllah...doakan kami dalam melayari bahtera kehidupan yang baru ini...moga rumahtangga dakwah yang dibina ini bakal memberi manfaat kepada seluruh alam insyaAllah...

Nukilan
-jauharee-

Isnin, April 06, 2009

TERKENANG KUCHING....

Salam kasih sayang untuk semua….


Agaknya bila ke sana kemari sejak akhir-akhir ini menjadikan masa untuk menulis ni macam dah terhilang fokus tapi ini bukanlah alasan untuk terus terhenti dari berkongsi pengalaman..Bila ummi baca chat box, rasa sangat bersalah…apa pun, terima kasih tak terhingga kerana mendoakan ummi diberi kelapangan. Ummi akan usahakan yang terbaik insyaAllah.


Hujung minggu pertama bulan Mac, ummi, ibu Yus dan pakcik Kamaruzzaman (famous for his work with reverts) telah berkesempatan ke Kuching, Sarawak untuk melebarkan sayap Hidayah Centre ke sana. Sebaik tiba di lapangan terbang, telah ditunggu oleh Dewi dan Along. Laparnya jangan dikenang…maklumlah awal pagi sudah berlepas ke LCCT. Rupanya acara sudah diatur untuk kami bertiga di lain-lain lokasi. Namun, Dewi dan Along ni memang cekap orangnya…sarapan pagi sudah disiapkan di dalam kereta..wow best betul! Bukan setakat sedap malah memang lazat hasil tangan masakan Dewi ni. Makasih Dewi!



Pemergian ke Kuching kali ni memang sarat dengan program ceramah dan forum. Jam 10 pagi di Sekolah Menengah Teknik, Matang. Selepas zohor jam 2.00 petang di Sek Menengah Agama Matang (di bawah kaki bukit…nyaman sekali!). Baru menjemput dua tiga suap untuk makan alas perut, panggilan dari AJK yang mengendalikan forum… jam 8.30 forum bermula. Alhamdulillah. Kesempatan sebegini walaupun kadang kala rushing namun sedikit pun tidak menjadikan kami keletihan. Malah, bila mengingatkannya kembali rasa cukup seronok …dapat menyampaikan bermacam maklumat untuk dikongsikan terutama kepada anak-anak. Paling terkesan apabila ada anak-anak yang mengalirkan airmata kerana merasakan diri mereka telah berbuat kesilapan. Ummi yakin anak-anak ini pasti mendapat keampunan Allah jika mereka di antara yang benar-benar bertaubat dan berjanji bahawa mereka tidak akan kembali melakukannya. Satu ketika, bilamana laptop penyampaian ummi tidak dijaga oleh seorang pelajar yg teresak-esak menangis, ummi pergi kepadanya dan meneruskannya sendiri sambil mengusap belakang anak tersebut. Sayu hati ummi….moga Allah mengampunkan dan mengabulkan apapun doanya di ketika itu…




2 jam sahaja lagi! Mencari cenderahati untuk dibawa pulang setelah 2 hari di Kuching….Sebelum tu ada sesi perkongsian bagaimana berdakwah kepada yang masih belum Islam dan permasalahan mereka yang perlu kita ketahui. Tabik spring betul nih! Kelihatan yang berada di bilik seminar YADIM Kuching, wajah-wajah tulus dan suci, yang begitu terserlah usaha mereka menyampaikan islah dan dakwah di mana-mana pun mereka berada. Umur mereka menjangkaui lewat lima puluhan. Namun masih gagah kerana hati mereka sentiasa muda! Kagum dengan cara mereka…terasa kerdilnya ummi di saat itu. Menyahut dalam hati bahwa aku mesti berusaha gigih untuk jadi seperti mereka!



Bila sebut hati muda, wah… terus-terusan gagah membeli belah untuk yang tersayang yang ditinggalkan di rumah...alhamdulillah 2 jam itu dah memenuhi beg-beg yang tertambah (terpaksa tambah..hehe) dek kerana macam-macam yang rasa perlu diberi kepada keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa bersama dalam kerja-kerja dakwah ini….ketika susah dan senang…. Aha! Bila dah balik rumah, sakit urat sana sini…rupanya dah tak segagah dulu..




Apa-apa pun ummi sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabt di Kuching terutama anak-anak UNIMAS yang bergiat aktif dalam KARISMA Sarawak yang sentiasa bersedia membantu di kala kami memerlukan pertolongan. Bahagia rasanya hati kami, cubalah lihat wajah-wajah ceria mereka…..



Tiap kali menulis ummi pasti akan teringat…alangkah bagusnya kalau ada yang membantu ummi mengambil gambar-gambar untuk kenangan. Bila hanya terkenang di minda, memang susahlah nak dapat kongsi di blog ini kan? Mujurlah anak-anak KARISMA yang bijak pandai ini mintak handphone ummi untuk diguna pakai. Apa guna ada handphone berkamera tapi tak make full use of it ye tak? Telatah anak-anak ini cukup menghiburkan…. and I really miss them!


Wish I can go to UNIMAS and get to meet them again. Doa ummi kalian terus berusaha menjadi yang terbaik pada setiap masa dan ketika…biar menjadi contoh bagi mereka yang sedang mencari sinar hidayahNya.



nukilan

ummiroses

Selasa, Mac 03, 2009

DEKAT DI HATI…..

Ummi betul-betul kena minta maaf dengan pembaca blog ummi, kawan-kawan dan anak-anak yang sentiasa mengikuti perkembangan Raudhatus Sakinah dan usahanya. Terima kasih banyak-banyak atas doa dan persinggahan kalian di sini. Ummi cukup terhibur sebenarnya namun kerana ummi telah memilih untuk tetap terus berada di jalanNya, maka tentulah Allah memberi laluan ujianNya kepada mereka yang sanggup mengharunginya. Tiada alasan sebenarnya untuk tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Semakin kita menyanggupi urusan mengislah dan berdakwah maka semakin besar dimensi yang Allah bukakan untuk kita lalui dan pelajari. Subhanallah….Alhamdulillah! Kalau kelihatannya ummi lama tiada di maya blog ini, terus doakan ummi dan sahabat-sahabat yang bekerja di RS ini ya.


Untuk anak-anak yang berkesempatan bersama ummi di awal tahun 2009 ini, ummi ucapkan selamat berkenalan terutamanya yang telah meninggalkan jejaknya di sini.. seronok dapat berkongsi maklumat dengan kalian. Mudah-mudahan kita akan terus dibaluti rasa kasih dan sayang lillahi Ta'ala.


14 Januari – Pelajar Sek Men Sg Pusu, Gombak

21 Januari – Pelajar USIM. Nilai

12 Februari – Pelajar Sek Men Seri Gombak

14 Februari – Pelajar Sek Men seluruh Daerah Batu Pahat dan UTHM

16 Februari – Persatuan Pelajar Univ Malaya

18 Februari - Pelajar Politeknik Kelantan

22 Februari – Bersama ALKISan di Perkampungan Orang Asli Gombak

26 Februari – Pelajar UiTM, Shah Alam

28 Februari – Pelajar Sek Men seluruh Johor Bharu

2 Mac – Pelajar CUCMS, Cyberjaya


Sejak akhir-akhir ini, ramai juga anak-anak lepasan RS yang mendapatkan ummi melalui sms. MasyaAllah…terharu betul ummi. Anak-anak ini sungguhpun berjauhan namun mereka sentiasa di hati ummi. Ummi faham sangat kesibukan mereka yang tak dapat mengirim berita selalu kepada ummi. Cukup sekadar mengetahui perkembangan kehidupan mereka menjadikan ummi bahagia. Selalu ummi bersyukur dan mengucapkan ayat ini dari Surah AnNur….. “wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji”… dan ayat ini juga menjadi amaran Allah untuk mereka yang masih belum mahu bertaubat. Untuk anak-anak lepasan RS ini, ummi pasti penghijrahan mereka mendapatkan cinta yang hakiki…mereka mungkin telah tersasar suatu ketika dahulu namun ini bukanlah pengakhiran kehidupan mereka…..bilamana mereka di antara yang bertaubat dan mengembalikan diri menghayati Islam sepenuhnya, janji Allah pasti sampai!



Just wanna share my feelings…….Rasanya macam dah bertambah-tambah anak ummi setiap minggu dan bulan, namun tak kelihatan pun berada di sisi ummi. .masing-masing semakin sibuk dengan urusan belajar dan bekerja. Alhamdulillah urusan mengislah dan berdakwah juga tak ketinggalan mereka laksanakan…tu yang menjadikan ummi semakin kasih dan terkenangkan mereka. Semakin merindukan telatah dan karenah mereka…. kadang-kadang rindu mencapai tahap maksima sehingga terasa benar ketiadaan mereka….emmm agaknya bukan rasa takde tapi lebih terasa kehilangan mereka



Inilah antara perasaan kasih seorang ibu…dan mungkin takkan dapat di samakan dengan kasih seorang anak terhadap ibunya. Bila jadi ibu dan ayah, kita mahu yang terbaik untuk anak-anak tapi adakala anak-anak mungkin tak paham kondisi ini…sebab tu mereka tak dapat menghargainya. Untuk itu, ummi seru semua ibu dan ayah untuk mendekati anak-anak, layani mereka dengan penuh rasa kasih dan sayang, menjadi pendengar yang baik untuk mereka, kongsi rasa susah dan senang, pahit dan getir apa pun cabaran yang mereka lalui, terus menasihati dan memberi cadangan terbaik buat mereka. Kebahagian yang mereka dapat di rumah nanti pasti akan mencantas budaya hedonisme yang sentiasa menghantui anak-anak remaja di luar sana. Anggaplah semua anak-anak remaja ini sebagai anak kita…sentuhilah mereka dengan keperihatinan dan kasih sayang kita…insyaAllah hak milik Allah ini akan terus dilimpahi rahmat dan cintaNya.


Terusik jugak hati ummi bila sedang memandu kedengaran lagu Akbar berkumandang.

Cuba hayati senikatanya….aduh…boleh terlerai airmata seorang ibu bila anaknya meluahkan isi hatinya begini….

Sebuah luahan hati
Dari seorang anak
Untuk semua ibu
Ibu yang banyak berjasa
Dan khas
Buat umiku yang tercinta
Dengarlah
Sejak aku dilahirkan
Tak pernah henti kau berkorban
Mengajar ku menjadi insan
Yang berbudi punya pegangan
Kala ku tak mendengar kata
Tak pernah kau doa ku binasa
Cintamu terhebat di dunia
Tiada lagi yang sepertinya
Bagiku kau segalanya
Kau sentiasa dalam jiwa
Umi engkaulah ratuku
Permaisuri dalam kalbu
Ummiiii….Ummiii…..Ummii….Ummii
Khilaf antara kita lumrah
Buat ku sering rasa bersalah
Wahai umi ketahuilah
Kan ku terus melangkah gagah
Sejuta harapan ku bawa
Semangatmu tetap bersama
Sungguh kau tiada gantinya
Walau ku cari serata dunia
Umi engkaulah maharani
Senyum untukku sekali lagi
Usah bimbang wahai ummi
Andai jatuh ku bangun lagi


Ummiiii….Umiii…..Ummii….Ummiii

Mungkin engkau sangka aku
Tak peduli tak ambil tahu
Sedang aku teringat kan mu
Senyum tangis dalam rindu
Manis pahit legar di minda
Aku harap dikau percaya
Bahwa aku tetap setia
Doakanlah aku bahagia
Bahtera ini kan ku layar
Hidup ini terus mengajar
Wahai umi engkau penawar
Kau tetap nyalakan sinar
Ummi yaa lahnan a\\\'syaqohuwanasyidan auman unsyuduhu
Fikulli makanin adzkuruhuwa-azhollu azhollu uroddiduhu
Ini janji ikrar anakmu
Berjuang betuli yang lalu
Daku ingin engkau tahu
Kan ku penuhi hasratmu
Walau hidup dengan caraku
Dibina dari petunjukmu
Usah kau bimbang dan pilu
Ku kenangmu dalam doaku
Rindu pasti terlerai nanti
Engkau kan tetap ku ingati
Andai ku tiada di sisi
Di hati tetap menemani
Ummiiii….Umiii…..Ummii….Ummiii


Sentiasa berharap setiap bait nyanyian ini menjadi kenyataan untuk semua ibu di dunia ini….

Salam penuh kasih mesra untuk semua anak-anak ummi seluruh dunia.....love u all!


nukilan

ummiroses


Isnin, Januari 26, 2009

DARI RS KE US...



Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin. Kembali ke tanahair tanggal 1 Jan 2009 bila kapal terbang Emirates mendarat dengan selamatnya pada jam 1.55 tengahari. Kali ini 10 hari ummi berada jauh dari keluarga dan teman-teman seperjuangan di sini. Sms bertubi masuk ke handphone..masing-masing menzahirkan kerinduan untuk ketemu. MasyaAllah…Subhanallah…beginilah nikmat ukhuwwah yang terjalin.

Teringat akhir tahun 2007, ummi memasang niat dan azam baru. Tahun 2008 akan menyaksikan RS ke persada antarabangsa! Adik junior lepasan Kolej Islam, Fatkuradzi sentiasa meniupkan semangat kepada ummi. Go Go RS International! Kadang-kadang ummi ketawa dengan telatahnya. But deep in my heart, this dream is for real! Itu tekad ummi. Subhanallah…AllahuAkbar! Kita merancang, Allah jua merancang. Namun perancangan Allah jualah yang terbaik. Bermula dengan mengekori Ketua Wanita JIM, Dr Harlina yang juga adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Induk RS, ke Singapura pada awal tahun 2008, maka RS terus mengorak langkah mencari peluang memajukan diri dan pembangunannya di serata pelusuk bumi Allah ini. Alhamdulillah! Inilah yang menjadikan ummi bertambah yakin dengan janji Allah.

Dan hendaklah ada di antara segolongan ummat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan merekalah orang-orang yang beruntung. (Surah Ali Imran : 104)


Sebaik sampai di daratan lapangan terbang George Bush Houston, Texas ummi dan kak Roha merafakkan syukur lillahi Taala. Enam belas jam perjalanan dari Dubai International Airport ..aduh repot banget deh! Seperti melalui kastam di Dubai untuk ke Houston, begitu jugaklah prosedurnya bila dah pun menjejakkan kaki di Houston sendiri. Very, very tight security. Alhamdulillah surat jemputan dari MISG (Malaysian Islamic Study Group) dan IMSA (Indonesian Muslim Society in America) ada ummi bawak sebagai bukti mengapa kami sampai ke Houston tu. Tak tahu la kenapa begitu sekali pemeriksaannya sedangkan untuk memohon visa di kedutaan Amerika, Kuala Lumpur ini telah pun melalui sesi temubualnya. Alhamdulillah, sahabat baru ummi di kedutaan, Tina membantu memberi sokongan(recommendation) yang tinggi terhadap usaha kami untuk bertemu pelajar-pelajar Malaysia di seluruh Amerika. Anyway, many thanks to Tina and Bill from the US Embassy in KL for helping us in the application for visa. Really love to see you again Tina..and hope you can speak bahasa melayu fluently by now.



Semasa beratur di pemerikasaan kastam, ummi sms Zabidi (ex junior di KIK) bagitau dah sampai. Zabidi called dan maklumkan ada students akan ambil kami di airport. Jenuh Ammar dan Alia menunggu rupanya. Kesian anak-anak ini… Masing-masing dah keletihan agaknya tapi yang pasti kami semua lapar! Ummi betul-betul rasa terharu atas hospitality yang diberikan oleh Ammar dan Alia…memastikan ummi dan kak roha cukup segalanya. I’m deeply touched….yang terbaik pasti menanti kalian insyaAllah..

Tiga sesi perkongsian dari kami dalam 3 hari. Nostalgia betul bila mengenangkan kehidupan ummi dan suami di Melbourne, Florida dan seterusnya berpindah ke Hartford, Connecticut di antara tahun 1985-88. Pergi berdua dan kemudian dikurniakan dua anak di sana…Subhanallah…Alhamdulillah…memang setiap langkah yang ditempuh semakin mendewasakan dan mematangkan kehidupan kami. Ada ummi kongsikan sedikit cerita suka duka membina keluarga dan membesarkan anak-anak semasa slot ‘Di sini kita bermula…’ Walaupun banyak kepayahan dan kesulitan yang terpaksa dilalui namun tak pernah sedetik pun ummi dan suami merasa terancam dan menyesal dengan apa yang telah Allah izinkan berlaku. Malah kami terpanggil untuk membantu sahabat-sahabat yang kami rasakan lebih memerlukan dari kami. MasyaAllah…di ketika itu ummi belum banyak mengerti soal rahmat Allah. Hanya tahu dan faham di sudut hati namun belum dapat merasakan sentuhan nikmatNya…AllahuAkbar…setiap apa yang dikeluarkan hasil titik peluh bagi saraan seisi keluarga kami diperuntukkan kepada mereka yang lebih memerlukan, rupanya Allah gantikan dengan rezeki dari sumber yang tidak kami sangka-sangkakan…Subhanallah…Alhamdulillah! Bahagianya menangisi waktu pemberian ini, syahdunya sampai terus ke dalam hati….terasa sungguh manisnya nikmat anugerah Allah SWT. Kadang-kadang kita lupa bahawa apa yang ada dan diberi kepada kita bukanlah hak milik total kita. Kita ingat kesusahan kita dan kita lupa bahawa ada lagi yang lebih tersiksa kehidupannya dari kita. Astaghfirullahal ‘Adzim… janganlah diambil nikmat sedar dari diri kita ini…Ya Rabb, jika kami di antara yang alpa, Engkau kejutkanlah kami, insafkanlah kami atas setiap kurniaanMu…Ya Ghafuur Ya Syakuur, jika kami di antara yang masih lupa, janganlah Engkau biarkan kami terus berseorangan… datangkanlah kepada kami sahabat-sahabat yang menginsafkan kami, ampunkanlah kami dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberianMu…

Slot bengkel bersama anak-anak perempuan (MISG) menambahkan keyakinan ummi bahawa suatu hari nanti anak-anak ini pasti menjadi pemimpin yang hebat..insyaallah! Kekuatan, keberanian dan kekreatifan mereka sangat teruja. Jika langkah baik ini terhenti disebabkan kesibukan belajar, ummi akan rasa kecewa. Sayang kalau kita tak menafaatkan kesungguhan yang telah berbunga di sini. Langkah mengislah dan berdakwah ini telah bermula! Di mana-mana pun boleh dilaksanakan tanggungjawab ini…semasa belajar mahupun bekerja nanti. Yang penting amal ini berterusan dan menjadi satu komitmen dalam diri untuk menegakkan yang haq. Tanamlah sifat berani, tawadhu’, rasa kasih dan prihatin serta sentiasa berlapang dada atas apapun senario yang kita hadapi. Pamerkan diri yang sangat welcoming …perindahkan diri dengan akhlaq Islam…insyaAllah ummi yakin ramai yang akan tertarik untuk bersama mendaulatkan Islam!

Sesi ummi berakhir dengan perkongsian dari RS. Memang berazam untuk bagi satu kelainan kepada anak-anak di sana. Not just about RS…I want them to to feel the urgency to do amar ma’ruf nahi mungkar wherever they are. At this time, ummi dah pun mula sakit tekak dan batuk-batuk. Maklumlah cuaca sejuk yang terasa hingga ke tulang. Makanan yang masuk ke perut pun sejuk macam baru keluar peti ais. Agaknya badan yang dah terbiasa dengan makanan panas dan cuaca panas, mulalah menjejaskan kesihatan ummi. Namun izin Allah, suara ummi yang serak berperanan pulak menzahirkan citarasa yang hiba dan terharu bila ummi membawa cerita-cerita dari Rasulullah SAW. Bukan ada maksud ummi untuk menyedihkan anak-anak dan sahabat semua cuma ummi perlukan sentuhan hati kalian demi mengembalikan perjanjian kita dengan Allah. Ummi ingin hidupkan panggilan-panggilan jihad dalam diri anak-anak. Ruang dan peluang merebut pahala yang sangat ummi harapkan untuk menjadi kenyataan dalam setiap kehidupan kalian. Kita punya misi utama untuk mendapatkan Jannah dan bertemu dengan Allah. Namun sudah tentu kita perlu tunaikan misi membangunkan tamaddun terlebih dahulu demi memartabatkan syiar Islam. Kita semua kena bersatu untuk membina peradaban ini. Dan, untuk saling mengukuhkan di antara kita, perlulah setiap dari kita menjadi yang terbaik pada setiap ketika dan waktu. Menjadi muslim yang mukmin. Menjadi ummat yang Rasulullah rindukan untuk bertemu…

Ramai anak-anak dari MISG dan sahabat-sahabat baru dari IMSA yang sempat ummi jumpa dan berkenalan di muktamar. Ummi jugak diberi kesempatan berkenalan dengan beberapa orang speakers lain yang jugak dari Malaysia…saudara Azman Hussain, YB Nik Nazmi, Dr Azly Rahman dan Fazrul . MasyaAllah..mereka semuanya hebat! Berpeluang juga ketemu sahabat-sahabat yang selama ini hanya berkomunikasi melalui emel. Zabidi dan Amir Razelan. Syukur Alhamdulillah. Khas untuk Nazirah Mohd Khairi yang kini mantan ameerah MISG, ummi ucapkan jutaan terima kasih kerana membantu menjadikan impian ummi menjadi kenyataan. Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua. We would never have made it without all of you …pasti dengan izinNya… Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin.



Untuk Abdul Hakim dan anak-anak semua….ummi sudah mula merindukan kalian. Terus doakan kami diberi kekuatan dan ketabahan dalam memenuhi amanah Allah ini. Moga kalian terus disuntik semangat juang yang tinggi.

Nukilan
ummiroses

Followers

Linking to me from where??.....

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

AKTIVITI RS