Kebelakangan ini ummi mengejar masa untuk menghambat diri menepati kerja-kerja yang telah dijanjikan. Makin dikejar makin terasa singkatnya pusingan masa anugerah Allah ini. Ya Allah ya Rahman ya Rahiim…berilah kelapangan kepada hambaMu ini…
Alhamdulillah, dengan izin Allah baru-baru ini ummi telah dapat melaksanakan dua tuntutan dan tanggungjawab untuk lawatan dan ziarah. Pada 22 Mac lepas, mewakili Wanita JIM Pusat, Dr Harlina(Ketua Wanita), Roha (Setiausaha Kehormat), Mas Ahmah (JK Dana), dan ummi (JK Raudhatus Sakinah) telah dapat memenuhi lawatan kerja di Singapura khususnya melawat pusat jagaan, kolej pendidikan dan pusat dakwah di bawah kelolaan Persatuan Muhammadiyah. MasyaAllah..masyaAllah…terpegun rasanya bila menemukan ada persatuan sebegini hebat berada dalam sebuah negara yang bukan melaksanakan tuntutan syariat namun masih dapat mengenengahkan keindahan Islam di tengah-tengah kota ini. Aduh…malunya ummi bila mula memikirkan tahap mana usaha kita ini dalam mengamalkan tuntutan syariat…
Kagum benar ummi terhadap layanan mesra jawatankuasa yang menyambut kami. Dua wanita hebat, Zaleha dan Fatheloone bersama suaminya Sudirman. Seawal jam 3 pagi mereka telah sedia menunggu kami melepasi tambak Johor…masyaAllah... muka mereka masih manis dan senyuman tetap berada di bibir at that hour! Menghantar kami ke hotel yang berkenaan dan mengambil kami kembali setelah kami sudah cukup rehatnya. Kemudian sentiasa bersama membawa kami ke sana kemari memenuhi agenda lawatan dan presentasi Dr Harlina yang ada kalanya ditangkap muat sebagai bidan terjun untuk memberi tazkeerah. Subhanallah…Alhamdulillah…Allah kurniakan sebuah pertemuan yang sangat berharga bagi sebuah perkenalan yang baru bermula.
Di kesempatan minggu seterusnya ummi telah memenuhi tuntutan ziarah seorang sahabat yang sedang menghadapi penyakit yang agak kritikal. Tak sangka ummi akan dapat sampai destinasi ini namun siapa boleh menduga perancangan Allah…Ummi bersama 3 orang lagi sahabat (Hj Jaafar, Kak Fatimah dan Abdullah) mewakili ALKIS (Alumni Kolej Islam) dengan penuh rasa ta’azim diberi penghormatan untuk bertemu sahabat baik kami Dr Zainudin Jaffar dan keluarganya di Brunei Darussalam pada 28 dan 29 Mac lepas. Sepanjang berada di sana, ummi dan sahabat lain rasa sangat terhimpit perasaan berhadapan dengan Dr Zainudin yang baru dikesan menghadapi kanser paru-paru advance stage. Perasaan ini mula terungkai sikit demi sikit bila dapat berbual panjang, mendengar kata-kata yang sangat positif dari Dr Zainudin sendiri. “Kita kena terima takdir Allah tapi dalam masa yang sama kita kenalah berusaha mengubatinya. Saya ambik ini sebagai satu hikmah Allah dan kita terimalah kurniaan Allah ini…” MasyaAllah…rasa sangat bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk sampai ke sana dan dipertemukan dengan seorang yang berjiwa besar dalam memartabatkan syariat Allah ini walau di mana pun beliau berada! Terima kasih khusus kepada ALKIS kerana telah membiayai pemergian ummi ke sana mengetuai delegasi unit kebajikan ALKIS. Doa kami moga Allah kurniakan yang terbaik buat keluarga solehah ini dan dipermudahkan serta diringankan segala bebanan dan kesakitan. Jika diberi kesempatan ummi memang berhajat untuk sampai lagi ke sana, mengadap sahabat ini dan belajar menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini dengan penuh rasa yakin terhadap janji-janji Allah. Mudah-mudahan akan lahir lebih ramai lagi sahabat seperjuangan yang berjiwa kental seperti Dr Zainudin dan keluarganya ini. Sungguhpun pertemuan ini terlalu singkat tetapi cukup menginsafkan kita yang diberi kesihatan yang baik ini…dugaan jugak sebenarnya tu!
Teringat pulak ummi kepada anak-anak yang dipertemukan melalui perbagai cara dan gaya perantaraan. Ada anak-anak dari USIM yang Allah pertemukan dengan bekerjasama dalam satu projek perancangan kewangan (alamak! Macam takde kene mengena dengan kerja-kerja ummi di Raudhatus Sakinah…). Dalam masa yang sama anak-anak USIM yang berada di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Jabatan Dakwah dan Pengurusan Islam ini kelihatan sangat berwibawa untuk membawa mesej-mesej amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam pengamalan mereka. Alhamdulillah, ummi telah menggabungkan tugasan mereka ini menjadi beberapa misi utama, mencari dana untuk RS dan juga menyebarluaskan syiar Islam kepada masyarakat. Beruntungnya dapat memanfaatkan masa dan usaha bersama anak-anak ummi di USIM ini.
Sebelum ini ummi telah bertemu dan bermesra dengan sahabat-sahabat Abdul Hakim, anak sulung ummi. MasyaAllah…anak-anak yang hebat dari segi amal islah dan dakwahnya. Susah nak ketemu anak-anak sebegini di zaman sekarang. Selalu berada di rumah ummi di waktu Abdul Hakim balik bercuti dari kolejnya. Yang bagusnya bila ada kelapangan, anak-anak ini akan mencari peluang berprogram bersama adik-adik di sekitar kawasan perumahan ataupun di sekolah lama mereka di Gombak ini. Emmm…kiranya macam dah lama jugak ummi tak nampak mereka berkumpul ramai-ramai sebab masing-masing tersangat sibuk dengan jadual ketat pembelajaran. Namun Alhamdulillah, ada seorang dari mereka ini yang sentiasa menghubungi ummi dan memantau kegiatan ummi…he he he…bagus jugak macam tu, sekurang-kurangnya ummi dah ada pelapis untuk membantu ummi dalam kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar. Pertemuan dan perkenalan yang membrangsangkan!
Ada pertemuan luarbiasa yang sentiasa tersemat di hati ummi…pertemuan di forum maya. Perkenalan yang tak perlu bersua muka tetapi ukhuwah yang terbina, sangat menghidupkan suasana berkeluarga…Subhanallah…Alhamdulillah…Memang pertemuan sebegini susah dijangka…tiba-tiba sudah bertemu kasih dengan anak-anak ni...masyaAllah…Alhamdulillah…Ada yang bertemu kerana sajaknya untuk RS dan ada yang bertemu kerana membaca buku ummi. Satu yang paling mengesani hati ummi adalah pertemuan untuk mendapatkan bahan kempen Anda Bijak Jauhi Zina. MasyaAllah…anak yang berusaha menterjemahkan kebaikan hidup melalui kempen yang telah menimbulkan kontroversi bagi sesetengah pihak. Jarang yang berani ke depan menangani permasalahan gelojak kehidupan namun anak ummi yang satu ini memang hebat. Tengok saja blognya ummi sudah rasa satu kebersamaan dalam mengharungi kerja-kerja amar ma’ruf nahi mungkar ini. Alhamdulillah.
Ummi rasa sangat terhibur sejak akhir-akhir ini dengan gelagat anak-anak ini. Dalam masa yang sama menghubungkan kembali silaturrahim di kalangan sahabat-sahabat lama dan baru…Ummi rasa sangat bertuah diberi kesempatan oleh Allah untuk melalui pertemuan demi pertemuan. HikmahNya hanya Allah yang lebih mengetahui. Namun yang penting, satu ikatan ukhuwah yang semakin kukuh telah terjalin di sini. Betapa ummi mengharapkan pertemuan ini tidak akan berakhir dengan kejauhan yang menjadi persempadanan untuk kita terus berkasih sayang kerana Allah. Di samping keluarga tersayang, Allah kurniakan ummi ramai anak-anak dan sahabat-sahabat yang menjadi pendorong gerak kerja ummi…moga kita semua terus menjadi hamba Allah yang bersyukur. Rasa satu kepuasan bila dapat bertemu dan menghilangkan rindu kepada sahabat-sahabat dan anak-anak ummi ini….Alhamdulillahi rabbil ‘aalamiiin.
nukilan
ummiroses @ rosmawati zainal
2 ulasan:
Ummi Roses...
Ummu Asiah...tumpang lalu..bukan tumpang lalu saja..Abu Asiah dah ciplak pulak playlist ummiroses...
Kami budak2 baru belajar..dah pandai nanti dia buat yang baru..moga Ummi Roses dapat pahala berpanjangan..
Jemputla datang ke blog ummu asiah pulak...cantikla blog ummi roses..kena belajar banyak lagi ni...
Assalaamualaikum,
Kak Rose. Takziah bagi pihak Dr. Zain atas kembalinya adik beliau ke rahmatullah. Izinkan ana petik gambar Dr. Zain di dalam blog Kak Rose ni. Ana sempat dengan Dr. Zain di tingkatan empat 1979 KIK. Amacam dia sekarang?. Berita Kak Rose kembali dari Brunei tu ana ikuti.
Semoga Allah swt beri ganjaran pahala sewajarnya kepada rombongan Kak Rose yang menziarahi Dr Zain baru-baru ini. Jika dia masih di KL, sampaikan salam dan doa ana kepada Dr Zain.Jika ada email atau blog beliau, tolong berikan pada ana.
Kak Rose, teruskanlah berbakti agar memanjangkan hayat kita di dalam khayraat dan AGAR kita dipanggil ALLAH SWT di hujung husnu khaatimah.
Wassalaam
Arau
PERLIS DARUS SUNNAH
Ustaz Ahmad Daud Ishak el-Merbawiy
Abu Amrullah (Muhammad)ADIS el-Merbawiy
Taman Jejawi
Arau Perlis.
Catat Ulasan