Ketika bersama anak-anak Raudhatus Sakinah yang sedang mengikuti kelas bimbingan Seerah jumaat lepas, cikgu Rosesuzaini sentuh tentang sembahan berhala. Cerita Nabi Ibrahim yang mahu memberi pengajaran kepada kaumnya dengan menghancurkan berhala-berhala, lalu apabila selesai misinya beliau langsung menggantungkan kapak tersebut ke tangan berhala paling besar yg masih elok berdiri. Apabila kaumnya sampai semula ke tempat asal mereka menerima kejutan yang besar apabila hampir semua tuhan yang mereka sembah selama ini telah dihancurkan sebegitu rupa. Apabila ditanya kepada Nabi Ibrahim maka jawab beliau “Tanya saja kepada Tuhanmu yang sedang memegang kapak itu”... Walaupun tahu bahwa tuhan berhala itu tak akan dapat menghayunkan kapak itu namun untuk mengakui mereka telah tersilap menyembah yang tidak berupaya, tidak sama sekali, malah Nabi Ibrahim itu yang ditangkap dan dipenjarakan.
Cuba kita lihat diri kita. Menyembah berhala? Hisy…takkanlah! Syirik tu. Mana boleh menduakan Allah! Lagi pun kita kan orang Islam…Tapi kenapa pulak kita tak kelihatan macam betul-betul seorang Islam ya? Ada jawapan begini “ Kita kena ikut edaran zaman….pakai-pakai tudung tu semuanya tak up-to-date!” atau “Alaa…aku ni orang Islam jugak cuma tak sembahyang saja ..” atau “ Kalau setakat pergi buat haji dan balik masih melalut-melalut dengan perangai lama tu nak buat apa, baik jadi macam aku ni sembahyang tidak, puasa pun tidak tapi aku masih jaga maruah sebab aku tak pergi kuil sembah berhala!”. Emmm…ditakok mana la agaknya keislaman kita ni ya?
Berapa ramai di antara kita agaknya yang mengutamakan Allah dalam setiap gerak laku dan kerjanya? Bila kita tengok-tengok balik diri kita ini, rupanya yang paling biasa kita lakukan sesuatu perkara adalah kerana manusia lain. Kalau tidak pun, mungkin kerana harta dan wang ringgit ataupun kerana mengejar kepujian dan kenaikan pangkat. Ada juga kerana rasa satu kepuasan dapat berseronok dan melupakan segalanya….
Pernah satu ketika Kak Ros bertanyakan kepada pelatih baru RS yang kehilangan maruah diri dengan hanya sekali dua perjumpaan dengan lelaki pilihannya, “kenapa boleh sampai menggadaikan harga diri macam ni?” Tahu apa jawapannya? Samada untuk berseronok ataupun jawapan paling tak senonoh “saja je”! Agaknya macammanalah perasaan mereka semasa menjayakan rayuan syaitan ini…Apa yang mereka fikirkan sebenarnya? Berhala apa yang berdiri kukuh dalam hati mereka sehingga sanggup mengenepikan agama apatah lagi memikirkan habuan apa yang bakal diterima di akhirat kelak….dan lagi, bahagian mereka di dunia pun kemungkinan menyaksikan kedatangan berbagai penyakit kelamin yang boleh membawa kepada mati yang sia-sia lagi hina!
Menunaikan haji ketika kita berkemampuan melaksanakannya adalah antara amalan terbaik untuk kita kikis buang sikap dan keutamaan yang melampaui had keinginan seorang muslim. Kita mulai dengan membuang segala pangkat dan gelaran yang dikejar selama ini yang menjadi pujian dan kebanggaan manusia dengan menyempitkan diri kita mencari ruang bertawaf dengan tidak ada beza antara insan lain dengan kita…semuanya kelihatan berpakaian sama dan tiada pulak gelaran hebat yang ada pada kita dipanggil-panggil orang. Lagi pun, siapa heran dengan gelaran kita tu! Baru kita rasa duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi …takada siapa yang lebih mahupun kurang.. Alhamdulillah..kita menjadi begitu insaf dan redha….nah! Satu berhala sudah berjaya kita runtuhkan!
Kemudian ketika bersa’ei, walaupun kelihatannya santai sahaja namun kita tetap kena mengikut jarak yang disediakan kerana di sinilah anak-anak kaki Siti Hajar berlari tanpa rasa penat, kehulu dan kehilir antara Safa dan Marwah mencari air bagi menghilangkan haus anaknya Nabi Ismail. Tiada seorang manusia pun yang ada di sana ketika itu untuk diminta pertolongan. MasyaAllah…Subhanallah…betapa kesusahan seorang ibu yang ditinggalkan suaminya atas perintah Allah berusaha mendapatkan sesuatu untuk memenuhi perut anaknya….jarang sangat kita dengar seorang ibu yang sanggup membiarkan anaknya berlaparan atau menanggung kesakitan …lihat saja Siti Hajar seorang ibu yang begitu sabar dan redha dengan perintah dan kehendak Allah. Kita tentu boleh rungkaikan pergantungan kita terhadap manusia semata dengan menaruh pengharapan yang penuh hanya kepada Allah yang satu. Kita selalu benar terlupa…mengharap sangat kepada manusia lain sedangkan kekuasaan Allah lah yang mengizinkan segala sesuatu terjadi. Nah…satu lagi berhala dapat kita pecahkan dari menambat jiwa yang terkaku ini!
Semasa melontar di Jamrah, kita sungguh menyaksikan dengan hati kita bahwa syaitan dan kaum kerabatnya perlu kita hapuskan segera…jangan sampai anak cucu kita terpengaruh olehnya. MasyaAllah.. Subhnallah…sebenarnya kalau tidak syaitan yang kita bunuh, wajib kita hapuskan dulu godaan-godaannya yang telah berumahtangga di kalbu kita ini. Sarang-sarang yang begitu kukuh telah terbina tanpa kita sedari. Keutamaan kita tidak lagi kepada tuntutan agama. Kita lebih rela diukur atau mengukur materialisme sebagai maruah utama kehidupan. Tanpa wang dan harta orang tak nampak kita atau kita tak nampak orang melainkan ada tanda harga ringgit terlekat di dahi mereka. Atas nama apa ya hidup sebegini? “Ahhhh…..let’s enjoy the life. We don’t need people telling us what not to do. After all, this is our lives. Kubur lain-lain…suka hati kita la kita nak buat apa dengan hidup.” Inilah jawapan kepada gejala sosial yang makin berleluasa dengan keseronokan yang dipilih sebagai matlamat hidup. Menjadi betul godaan tentera iblis ini!
Lagi…sikap apa yang sering membelenggu jiwa? Persepsi kita terhadap orang lain bagaimana….sangat sering berburuk sangka, iri hati dengan kelebihan orang lain, berpandangan negatif terhadap orang lain atau usaha-usaha mereka, pentingkan diri sendiri, riak, ‘ujub dan berbagai sifat-sifat mazmumah yang bukan sahaja memusnahkan diri sendiri bahkan juga insan lain. Astaghfirullahal ‘adzim…rupanya banyak sekali berhala yang kita pacakkan dalam diri sehingga kita telah melupai nilai asas dalam agama iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah swt. Cubalah kita lihat kembali diri kita ini….atas janji apa sebenarnya kita zahirkan setiap hari kepada Allah? “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. Setiap waktu kita lafazkan namun cukupkah sekadar memahirkannya di mulut dan tidak di hati serta mengamalkannya...
Bukankah yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang paling bertaqwa….
nukilan
ummiroses @ rosmawati zainal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan