|
“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)
My Sharing
Rabu, Ogos 25, 2010
AYUH MENYUMBANG UNTUK SAUDARA BARU
Posted by
ummiroses
at
8/25/2010 03:39:00 PG
0
comments
Labels: Santunan Masyarakat
Isnin, Mei 10, 2010
MENDAKAP KEINSAFAN DI RAUDHATUS SAKINAH
MANUSIA & PERISTIWA
Oleh MELATI MOHD ARIFF
Rosmawati Zainal, pengarah Raudhatus Sakinah, rumah bimbingan remaja puteri menunjukkan risalah program "Anda Bijak Jauhi Zina." - Foto BERNAMAKUALA LUMPUR: Kes 1: Ketika kawan-kawan sebaya usianya tekun mentelaah pelajaran, Ira (bukan nama sebenar) leka mencari teman lelaki dan menjalin hubungan cinta.
Ibu dan ayah Ira sudah lama tidak tinggal sebumbung. Sementara ibu asyik menjalin hubungan sulit, Ira yang dahagakan kasih sayang seorang ayah, kecundang dengan pujukan teman lelaki yang diharap akan menjadi teman hidupnya.
Dalam usia 14 tahun, Ira hamil dan bakal menjadi ibu.
Kes 2: Is (bukan nama sebenar) tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berbadan dua.
Dia mula menjadi liar ketika di tingkatan dua dan kerap bertukar teman lelaki. Lelaki yang menghamilkannya mungkin teman lelakinya yang keenam atau ketujuh.
Seorang yang pendiam, Is mempunyai ayah yang boleh dikategorikan seorang yang garang, justeru tidak hairanlah remaja ini mencari perhatian dan kasih sayang daripada kaum Adam di luar rumah.
Kes 3: Mila (bukan nama sebenar) berasal dari kawasan luar bandar, sebuah negeri di utara tanah air. Ayah dan ibunya sudah bercerai. Keadaan hidup keluarga yang tidak tenteram membuatkan remaja ini menyertai kumpulan Black Metal. Usianya ketika itu cuma 11 tahun!
Apabila menjadi anggota kumpulan Black Metal, remaja yang memiliki rupa paras yang cantik ini mula ponteng sekolah dan berubah sehingga menjadi kasar dan liar.
Berzina, ambil dadah, 'kaki pukul', Mila terus lemas bergelumang dengan noda dalam usia yang begitu muda.
LAGI CONTOH KES
Kes 4: Aida (bukan nama sebenar) ialah seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang sering menjadi contoh teladan untuk adik-adiknya. Ibunya seorang yang lemah lembut sementara ayahnya pendiam dan garang.
Rindukan belaian kasih sayang ayah membuatkan Aida mencari kenalan menerusi "chatting room" di Internet.
"Habis madu sepah dibuang". Begitulah nasib Aida, jejaka idamannya menghilangkan diri apabila dirinya hamil. Hanya deraian air mata ibu mengiringi remaja ini untuk membina semula kehidupan dengan penuh keinsafan!
JALAN PULANG
Ira, Is, Mila dan Aida hanyalah contoh kecil remaja yang menjadi mangsa gejala sosial. Mereka terjerumus ke dalam kancah aktiviti tidak sihat dalam memburu erti kehidupan, kasih sayang dan identiti diri.
Meskipun kehidupan muda mereka digelapi pelbagai krisis, mereka ini akhirnya menemui 'penyuluh' untuk kembali ke pangkal jalan di Raudhatus Sakinah (RS), rumah bimbingan remaja puteri di bawah kendalian Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (WJIM).
Di RS, remaja yang dalam lingkungan usia 12 hingga 25 tahun ini diberi bantuan dan bimbingan untuk mengembalikan keyakinan serta keupayaan diri supaya mereka mampu bangkit dan membina kehidupan baru sebagai individu yang berguna untuk agama dan masyarakat.
Mula beroperasi Ogos 1998, RS ditubuhkan kerana terdapat keperluan mendesak menyediakan rumah perlindungan khususnya untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hamil anak tidak sah taraf.
"Anak-anak ini tidak tahu ke mana hendak pergi. Ada yang mengandung kerana tunang, teman lelaki dan kebanyakan mereka dari sekitar Lembah Klang. Mereka ini sememangnya takut tetapi tidak langsung terfikir mahu menggugurkan kandungan.
"Di peringkat awal, kami beri perlindungan dan bimbingan untuk tempoh enam bulan kerana anak-anak ini boleh mengambil cuti satu semester untuk bersalin dan kemudian boleh menyambung semula pelajaran.
"Sekarang program ini dilanjutkan kepada minimum 13 bulan. Anak-anak remaja yang terjebak kian liar daripada yang pernah kami bimbing dulu. Rata-rata ponteng atau tak pergi ke sekolah atau IPT. Mereka tak peduli pun tentang pelajaran melainkan hanya fokus kepada keseronokan dan kebebasan.
"Pada bulan terakhir kami adakan bimbingan intensif fardu ain dan dalam tempoh itu juga kami berbincang dengan ibu dan ayah cara terbaik untuk anak mereka meneruskan kehidupan selepas keluar dari rumah perlindungan ini," kata Pengarah Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Taman Melawati di sini baru-baru ini.
KEJUTAN BUDAYA
Daripada kes pelajar IPT, RS kemudian menerima kes yang melibatkan pelajar sekolah termasuk remaja yang pernah menggugurkan kandungan, menjadi mangsa gejala sosial lain termasuk merempit, 'penkid', black metal, liar dan seks bebas, kes rogol dan sumbang mahram.
Bagaimanapun, kebanyakan kes yang dikendalikan RS ialah anak-anak yang dibawa atas inisiatif ibu bapa setelah berbincang dengan pihak sekolah, IPT, hospital, polis atau jabatan kebajikan masyarakat.
Hanya sebahagian kecil dirujuk atas perintah mahkamah iaitu antara lima atau enam kes setahun. Untuk kes-kes ini, remaja yang terlibat akan diletakkan di RS bagi tempoh bimbingan dua tahun.
Rosmawati menyifatkan remaja yang tersasar sebahagian besarnya kerana kejutan budaya.
Mulai tahun 2000, anak remaja, katanya mula terpengaruh dengan keinginan mahu kebebasan.
Gejala itu mudah menular dalam kalangan anak-anak sekolah yang melangkah ke tingkatan empat, yang sering digelar tahun berbulan madu.
"Masa itu cabaran cukup hebat bagi kami kerana budak-budak ini sudahlah tahap kesedaran mereka rendah. Pada mereka hanya mengandung itu dosa besar. Asalkan mereka tak mengandung tak mengapa, mengapa orang lain nak kisah.
"Budak-budak ini sebenarnya bijak dan kreatif tetapi sayangnya menyalahgunakan kebijaksanaan mereka dan terlalu menurut hawa nafsu," jelasnya.
SUKA PADA KESERONOKAN
Rosmawati turut berpendapat remaja mangsa gejala sosial terdedah dengan persekitaran yang tidak baik termasuk keluarga dan kelompok sahabat.
"Bila terdedah kepada persekitaran yang tidak baik maka senanglah budaya yang tidak sihat menyerap masuk. Budak-budak ini hendakkan kebebasan, tidak suka disuruh buat itu dan ini. Dalam keadaan itu, mulalah mereka mencari suasana yang paling selesa dengan dia.
"Inilah yang dinamakan budaya hedonisme iaitu budaya suka kepada keseronokan. Budaya ini sebenarnya telah menjadi anutan dan pegangan anak-anak muda berbanding dengan golongan tua yang lebih cenderung kepada agama," jelasnya.
Rosmawati berpandangan keadaan itu berlaku kerana kurang atau tiada bimbingan agama yang sepatutnya diterapkan oleh institusi keluarga.
"Keluarga jika tidak memainkan peranan inilah akibatnya," keluh beliau sambil menambah kebanyakan remaja yang menjadi penghuni RS berpunca daripada ibu dan ayah mereka sendiri yang lemah dari segi kemahiran keibubapaan.
SIKAP IBU AYAH
Lazimnya ibu bapa beranggapan mereka sudah melaksanakan kewajipan jika telah menyediakan segala keperluan atau memberi kemewahan kepada anak-anak.
"Bila kita bertemu dengan anak-anak ini mereka sering berkata emak atau ayah mereka terlalu garang dan tak pernah nak dengar apa yang mereka hendak cakap.
"Ada juga emak ayah yang tidak menjaga dari segi solat. Emak ayah tak solat, macama mana mereka hendak solat? Ada juga emak ayah yang sibuk dengan karier, anak-anak kurang perhatian dan ini menjadikan mereka terumbang-ambing mencari sokongan di luar," kata Rosmawati.
Satu lagi faktor yang menjerumuskan anak remaja ke kancah gejala sosial ialah menyalah gunakan kebebasan yang diberi ibu bapa.
"Emak ayah bila anak sudah masuk ke IPT mereka biarkan anak-anak dengan andaian anak mereka sudah dewasa. Ini menyebabkan anak menjadi liar dan bebas kerana berfikir emak sudah bagi kebebasan dan terpulang kepada mereka untuk buat apa yang mereka suka," katanya.
DIDIK ANAK
Natijahnya anak-anak yang dilahirkan bagaikan kain putih memerlukan asuhan dan bimbingan yang sempurna, khusus daripada ibu dan bapa sebagai tonggak utama institusi keluarga.
Rosmawati melihat tiga tahap mendidik anak yang perlu diberi penekanan, seperti yang digariskan Saidinia Ali ra (khalifah keempat Islam).
Tahap pertama, anak yang baru lahir sehingga 'mumaiyiz' (enam tahun), bermain dengan mereka dan belailah dengan sepenuh kasih sayang.
Tahap kedua, anak berusia tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun), hendaklah mendidik mereka dengan disiplin dan diberi tanggungjawab.
"Biasakan anak-anak membuat kerja-kerja kecil seperti membuang sampah dan menyusun kasut. Bagi pujian bila mereka lakukan tugas dengan baik dan tegur dan tunjuk jika tidak dibuat seperti sepatutnya. Anak-anak sebenarnya seronok bila disuruh buat sesuatu. Apa yang berlaku emak ayah lebih suka memberi arahan tapi tak beri tunjuk ajar," jelas Rosmawati.
Tahap ketiga, tambah beliau, untuk anak berusia 15 tahun hingga dewasa, hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat.
"Hormati dan hargai pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat. Jadikan anak kita sebagai rakan karib kita, nescaya kalau dia ada masalah dia akan datang kepada kita.
"Beri dorongan dan panduan. Ajak berbincang. Kenali juga rakan-rakan mereka. Anak-anak kalau dia bahagia di rumah, dia akan lebih seronok berada di rumah. Kalau dia keluar rumah pun dia akan beritahu emak dan ayahnya. Keakraban dengan emak dan ayah begitu kukuh," kata Rosmawati.
PROGRAM DI RS
RS kini mempunyai empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor.
Setakat ini RS Selangor boleh menampung sehingga 30 penghuni, RS Kelantan yang dibuka pada 2004 boleh menerima maksimum 25 orang sementara RS Pulau Pinang yang memulakan operasi pada 2006 boleh menerima sehingga 15 orang.
Lokasi terbaharu RS ialah di Johor, dibuka pada 2007 dan boleh menampung hanya 20 orang.
Menurut Rosmawati, apa jua kes yang dirujuk ke RS mesti dengan pengetahuan dan komitmen ibu dan ayah remaja berkenaan.
"Kita tidak mahu emak dan ayah yang lepas tangan. Memang anak mereka yang buat kesalahan tetapi emak dan ayah juga mesti bertanggung jawab.
"Anak-anak bukan lahir dengan sendirinya. Kita yang melahirkan mereka sebab itu kita di Raudhatus Sakinah memegang kepada konsep emak ayah mesti komited dalam program pemulihan dan bimbingan anak yang hendak dimasukkan ke sini.
"Raudhatus Sakinah bukan tempat untuk pembuangan dan bukan juga tempat untuk semata-mata tumpang letak remaja mengandung.
"Kita mahu bimbing mereka dan emak ayah perlu tahu masalah anak supaya selepas bimbingan emak ayah boleh pantau perjalanan kehidupan anak mereka supaya anak itu tidak mengulangi kesalahan yang sama atau mengelakkan anak yang lain terjebak dalam kancah gejala sosial," tegasnya.
Memandangkan kebanyakan remaja yang masuk ke RS ialah mereka yang terlanjur dan mengandung dan semakin banyaknya kes buang bayi, RS melancarkan kempen "Anda bijak Jauhi Zina" bermula 2007.
Menurut Rosmawati, kempen yang dijalankan itu mensasarkan bukan sahaja remaja dan belia tetapi juga masyarakat.
"Orang mungkin fikir kempen ini keras kerana menggunakan perkataan zina tetapi seperti yang saya jelaskan dalam program saya, zina ini terkandung dalam Quran. Ini ialah perkataan Allah SWT dan mudah-mudahan bila disebut akan gementarlah hati-hati yang mendengarnya," jelasnya. - Sumber BERNAMA
Posted by
ummiroses
at
5/10/2010 01:32:00 PG
0
comments
Labels: Pembangunan Jiwa
Rabu, Mei 05, 2010
SATU PERKONGSIAN ....
[Utusan] RS promosi kempen ABJZ
![]() |
| Bidang masakan adalah antara kemahiran yang disediakan kepada pelatih di RS. |
REALITI masyarakat Malaysia hari ini amat terdedah dengan pelbagai isu dan masalah sosial yang tidak berkesudahan. Saban hari ada sahaja terpampang di dada-dada akhbar isu kes pembuangan bayi, remaja ditangkap khalwat dan bermacam-macam isu sosial yang melibatkan remaja dan belia Melayu Islam. Sampai bilakah fenomena ini akan berterusan?
Kalau akhbar Utusan Malaysia menerajui media arus perdana di Malaysia dengan mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi menerusi kempen Kami Prihatin.
Berlainan pula dengan Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, yang sedang giat dengan kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ (ABJZ). Ia adalah program mendidik, membimbing dan memperkasa generasi masa depan untuk mengatakan tidak kepada zina.
Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Rosmawati Zainal menjelaskan, kempen yang sedang dijalankan sekarang ini, berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul, menerusi dua pakej program yang ditawarkan iaitu; Pakej program untuk remaja, belia dan mahasiswa serta Pakej program untuk warga pendidik, kaunselor, korporat dan sebagainya.
“RS Master Training & Consultancy akan menjadi badan pertama yang berhemah dalam usaha untuk menyebarkan maklumat dan memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat. Ini sekali gus, satu usaha mengurangkan gejala tidak sihat di peringkat nasional dan antarabangsa menjelang 2011 sehingga mencapai zero zina.
“Justeru, dalam setiap pakej program terdapat beberapa modul boleh dipilih pihak-pihak yang berminat. Misalannya, ABJZ Preview, ABJZ Tour dan ABJZ Camp. Manakala pakej kedua pula, menyediakan sesi latihan dan bimbingan (Training of Trainer) untuk mereka yang berminat membawa modul ABJZ ini di tempat mereka.
“Malah pihak kami juga pernah dijemput untuk menjayakan program bersama media massa sama ada, media cetak mahupun media elektronik,” terang Rosmawati atau lebih mesra membahasakan dirinya Umi kepada pelatih-pelatih di RS dalam satu pertemuan bersama Mega di ibu pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.
Tambah Rosmawati, rentetan daripada pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim beberapa bulan yang lalu bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.
Akuinya, angka ini membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini sudah semakin membarah. Malah ia turut memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.
“Sebenarnya, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Bayangkan angka di atas itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan.
“Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja yang perlu kita buat dan laksanakan. Kerja ini pula mestilah dilakukan oleh semua pihak. Malah menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?” soalnya.
Melihat kepada visi RS iaitu ‘Ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020′. Dirasakan ia agak mustahil dicapai, apatah lagi dengan angka yang diisytiharkan di atas. Tidakkah ini dirasakan satu harapan yang sekadar gimik sahaja atau cita-cita yang terlalu tinggi?
Akui Rosmawati, kalau dilihat secara zahir memang mustahil. Tapi keyakinan kepada Allah SWT mengatasi segalanya. Apa yang penting, berusaha tanpa kenal putus asa.
“Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak-anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.
“Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada pihak atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tidak menjadi khalifah Allah, maka tidak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itulah orang-orang yang beruntung,” tegas Rosmawati.
Ujarnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mestilah menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung, walaupun orang itu setiap hari menghina Baginda. Itulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat, sentiasa menegur remaja yang sudah nampak tersasar hala tuju atau matlamat hidup mereka.
“Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tidak nampak macam mana nak ubah dunia,” kata Rosmawati bersemangat dan tidak lekang dengan senyuman.
Lantaran itu, RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara dengan memperbanyakkan lagi rumah-rumah perlindungannya. Cita-cita dan visi RS ialah menjelang 2020, semua rumah perlindungan RS ditutup. Namun, buat masa ini ia terpaksa diwujudkan.
“Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup.”
Sehubungan dengan itu, RS akan mengadakan ‘Malam Amal Raudhatus Sakinah’ (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei atau Ahad ini, pukul 8 malam sehingga 10 malam.
Bertemakan ‘Lelaki Pelindung Wanita’, program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan.
Kata Rosmawati, tema itu diambil daripada ayat 34, surah an-Nisa bagi membangkitkan kesedaran kepada lelaki bahawa mereka bertanggungjawab melindungi dan membimbing wanita ke arah kebaikan.
“Kaum lelaki seharusnya menjadi contoh terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Pada malam tersebut, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangan khas ialah Penaung RS, Yang Mulia Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff, yang juga bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung.
Bersempena itu juga, RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS untuk sama-sama menjana dana bagi pengurusan dan pembangunan RS di seluruh negara, selain menekankan keperluan amar makruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat.
sumber : Utusan Malaysia
Posted by
ummiroses
at
5/05/2010 05:36:00 PG
0
comments
Labels: Santunan Masyarakat
Selasa, April 13, 2010
MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH (MARS)
Lelaki patut jadi golongan prihatin
rohana.man@utusan.com.my
APABILA membincangkan tentang isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa kini, nampaknya fokus perbincangan hanya terarah kepada tindakan kejam gadis yang melahirkan bayi malang tersebut.
Masyarakat marah dan mempersoalkan tidak adakah langsung naluri keibuan dan belas kasihan terhadap bayi yang tidak berdaya itu? Dalam kesibukan masyarakat 'menghukum', mencerca dan menghina gadis terlibat, kenapa tindakan lelaki yang menghamili gadis tersebut tidak disentuh? Kenapa dibiarkan lelaki itu terus hanyut tanpa ada kesedaran bahawa apa yang telah berlaku itu adalah salah kedua-dua pihak.
Ia bukan sahaja tidak adil, malah menganiayai gadis-gadis yang terpaksa menanggung beban seorang diri sehingga mendorong mereka bertindak di luar batas kemanusiaan dengan membuang bayi yang baru dilahirkan.
Menyedari itu, dan untuk membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa golongan lelaki wajar diberi kesedaran terutama dalam aspek melindungi dan membela nasib wanita, Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah akan menganjurkan Malam Amal Raudhatus Sakinah (RS) pada 2 Mei ini. Majlis itu akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada pukul 8 malam sehingga 10 malam. Tetamu khas pada majlis itu ialah Yang Mulia Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff.
RS memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang hamil luar nikah termasuk remaja liar dan salah laku yang tidak hamil.
Sejak ditubuhkan pada 1998, pusat perlindungan itu telah membimbing seramai 447 remaja yang tersasar kembali menghayati Islam sebagai cara hidup. Sehingga kini, terdapat empat buah pusat perlindungan remaja RS yang beroperasi di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.
Pengarahnya, Rosmawati Zainal berkata, tema majlis yang telah dipilih oleh pihaknya adalah Lelaki Pelindung Wanita.
Menurutnya, tema itu diambil daripada ayat 34, surah an-Nisa dan dipilih bagi membangkitkan kesedaran kepada lelaki bahawa mereka bertanggungjawab melindungi dan membimbing wanita ke arah kebaikan.
"Kami mahu lelaki menjadi golongan yang prihatin dan lebih bertanggungjawab terhadap wanita. Kami mahu mereka membimbing wanita ke arah kebaikan, dan bukannya mengambil kesempatan terhadap wanita," katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, objektif lain adalah menjana dana bagi pengurusan dan pembangunan RS di seluruh negara, selain menekankan keperluan amar ma'aruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat.
"Bagi tujuan mengumpul dana, pihak kami menjual meja (10 kerusi) kepada tetamu iaitu daripada berharga RM1,000 sehingga RM5,000.
Selain itu, untuk menarik lebih ramai penyertaan golongan muda agar matlamat program dapat dicapai, Rosmawati berkata, penampilan istimewa daripada Kumpulan Damascus, Xifu & Algebra serta persembahan anak-anak remaja akan diadakan.
Untuk tempahan meja, sila hubungi talian 03-41073379 dan 03-41089669 (pejabat) atau 019-3836859 (Mohd Amirul) atau 013-2466190 (Abdullah Omar) atau 019-5053008 (Nazirah) atau 019-2386333 (Rosmawati).
MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH
(MARS) 2010
OBJEKTIF MARS 2010:
- Menjana dana bagi pengurusan & pembangunan Raudhatus Sakinah seluruh Malaysia
- Menjalinkan networking dengan pelbagai pihak
- Menekankan keperluan amar ma'ruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat
- Menyedarkan tanggungjawab serta menghargai peranan lelaki yang menjadi pelindung kepada maruah wanita
TEMA:
Lelaki Pelindung Wanita
(Surah An-Nisa':34)
2 Mei 2010
MASA:
8.00 Malam - 11.00 Malam
TEMPAT:
Shah Alam Convention Center (SACC Convec)
YTM Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff
Penaung Raudhatus Sakinah
(Bonda kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin)
PENAMPILAN ISTIMEWA:
- Kumpulan Demascus
- Xifu & Algebra
- Aisyah
- Persembahan anak-anak remaja
- PENGACARA MAJLIS - Ahmad Fedtri Yahya (TV3)
JUALAN MEJA:
Platinum - RM5000/meja
Gold - RM3000/meja
Silver - RM2000/meja
Bronze - RM1000/meja
NO AKAUN RAUDHATUS SAKINAH:
5622 0961 3388
(MAYBANK BERHAD)
Untuk tempahan, sila hubungi:
Sekretariat Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010
03-41073379 atau 03-41089669 atau 03-41053159
Puan Rosmawati Zainal: 019-2386333
Puan Yusnani Abd Hamid: 013-3893379
Puan Siti Aini Jamil: 019-6553136
Nazirah Idris:019-5053008
En Mohd Amirul Mohd Letfee: 019-3836859
En Abdullah Omar:013-2466190
Posted by
ummiroses
at
4/13/2010 05:27:00 PG
0
comments
Jumaat, April 02, 2010
SEMUA PIHAK MESTI BERTANGGUNGJAWAB
Semua pihak bertanggungjawab – Raudhatus Sakinah

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.
Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.
Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.
“Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?” soalnya.
Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.
“Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah.”
Visi RS ialah ‘ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020′. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu ‘ambitious‘?
“Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.
“Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung,” jelas Rosmawati.
Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti ‘walk the talk‘, menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.
“Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, ‘kun fayakun’. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia,” katanya sambil menguntum senyum.
Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?
“Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya.”
RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).
“Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup.”
Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan ‘Malam Amal Raudhatus Sakinah’ (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema ‘Lelaki Pelindung Wanita’, program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.
(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)
Sumber : Malaysia Harmoni
Posted by
ummiroses
at
4/02/2010 03:15:00 PG
0
comments
Labels: perjuangan ini

Amin3.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: 







