Solat Tiang Agama


“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (QS Al-Isra’, 17/32)

Selasa, April 13, 2010

MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH (MARS)

Lelaki patut jadi golongan prihatin

(Akhbar Utusan Malaysia 9 April 2010)

APABILA membincangkan tentang isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa kini, nampaknya fokus perbincangan hanya terarah kepada tindakan kejam gadis yang melahirkan bayi malang tersebut.

Masyarakat marah dan mempersoalkan tidak adakah langsung naluri keibuan dan belas kasihan terhadap bayi yang tidak berdaya itu? Dalam kesibukan masyarakat 'menghukum', mencerca dan menghina gadis terlibat, kenapa tindakan lelaki yang menghamili gadis tersebut tidak disentuh? Kenapa dibiarkan lelaki itu terus hanyut tanpa ada kesedaran bahawa apa yang telah berlaku itu adalah salah kedua-dua pihak.

Ia bukan sahaja tidak adil, malah menganiayai gadis-gadis yang terpaksa menanggung beban seorang diri sehingga mendorong mereka bertindak di luar batas kemanusiaan dengan membuang bayi yang baru dilahirkan.

Menyedari itu, dan untuk membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa golongan lelaki wajar diberi kesedaran terutama dalam aspek melindungi dan membela nasib wanita, Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah akan menganjurkan Malam Amal Raudhatus Sakinah (RS) pada 2 Mei ini. Majlis itu akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada pukul 8 malam sehingga 10 malam. Tetamu khas pada majlis itu ialah Yang Mulia Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff.

RS memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang hamil luar nikah termasuk remaja liar dan salah laku yang tidak hamil.

Sejak ditubuhkan pada 1998, pusat perlindungan itu telah membimbing seramai 447 remaja yang tersasar kembali menghayati Islam sebagai cara hidup. Sehingga kini, terdapat empat buah pusat perlindungan remaja RS yang beroperasi di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.

Pengarahnya, Rosmawati Zainal berkata, tema majlis yang telah dipilih oleh pihaknya adalah Lelaki Pelindung Wanita.

Menurutnya, tema itu diambil daripada ayat 34, surah an-Nisa dan dipilih bagi membangkitkan kesedaran kepada lelaki bahawa mereka bertanggungjawab melindungi dan membimbing wanita ke arah kebaikan.

"Kami mahu lelaki menjadi golongan yang prihatin dan lebih bertanggungjawab terhadap wanita. Kami mahu mereka membimbing wanita ke arah kebaikan, dan bukannya mengambil kesempatan terhadap wanita," katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, objektif lain adalah menjana dana bagi pengurusan dan pembangunan RS di seluruh negara, selain menekankan keperluan amar ma'aruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat.

"Bagi tujuan mengumpul dana, pihak kami menjual meja (10 kerusi) kepada tetamu iaitu daripada berharga RM1,000 sehingga RM5,000.

Selain itu, untuk menarik lebih ramai penyertaan golongan muda agar matlamat program dapat dicapai, Rosmawati berkata, penampilan istimewa daripada Kumpulan Damascus, Xifu & Algebra serta persembahan anak-anak remaja akan diadakan.

Untuk tempahan meja, sila hubungi talian 03-41073379 dan 03-41089669 (pejabat) atau 019-3836859 (Mohd Amirul) atau 013-2466190 (Abdullah Omar) atau 019-5053008 (Nazirah) atau 019-2386333 (Rosmawati).


MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH

(MARS) 2010


OBJEKTIF MARS 2010:


  1. Menjana dana bagi pengurusan & pembangunan Raudhatus Sakinah seluruh Malaysia
  2. Menjalinkan networking dengan pelbagai pihak
  3. Menekankan keperluan amar ma'ruf nahi mungkar dipertingkatkan dalam masyarakat
  4. Menyedarkan tanggungjawab serta menghargai peranan lelaki yang menjadi pelindung kepada maruah wanita


TEMA:


Lelaki Pelindung Wanita
(Surah An-Nisa':34)


TARIKH:
2 Mei 2010

MASA:
8.00 Malam - 11.00 Malam


TEMPAT:
Shah Alam Convention Center (SACC Convec)




KEHADIRAN KHAS:

YTM Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff

Penaung Raudhatus Sakinah

(Bonda kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin)



PENAMPILAN ISTIMEWA:



  • Kumpulan Demascus
  • Xifu & Algebra
  • Aisyah
  • Persembahan anak-anak remaja
  • PENGACARA MAJLIS - Ahmad Fedtri Yahya (TV3)


JUALAN MEJA:

Platinum - RM5000/meja

Gold - RM3000/meja

Silver - RM2000/meja

Bronze - RM1000/meja

Sebarang bentuk sumbangan dan tajaan sangat dialu-alukan.

NO AKAUN RAUDHATUS SAKINAH:

5622 0961 3388

(MAYBANK BERHAD)


Untuk tempahan, sila hubungi:

Sekretariat Malam Amal Raudhatus Sakinah (MARS) 2010

03-41073379 atau 03-41089669 atau 03-41053159

Puan Rosmawati Zainal: 019-2386333

Puan Yusnani Abd Hamid: 013-3893379

Puan Siti Aini Jamil: 019-6553136

Nazirah Idris:019-5053008

En Mohd Amirul Mohd Letfee: 019-3836859

En Abdullah Omar:013-2466190

Jumaat, April 02, 2010

SEMUA PIHAK MESTI BERTANGGUNGJAWAB

Semua pihak bertanggungjawab – Raudhatus Sakinah

TM Lim

a

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.

Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.

aPengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.

“Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?” soalnya.

Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.

“Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah.”

Visi RS ialah ‘ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020′. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu ‘ambitious‘?

“Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.

“Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung,” jelas Rosmawati.

Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti ‘walk the talk‘, menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.

“Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, ‘kun fayakun’. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia,” katanya sambil menguntum senyum.

Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?

“Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya.”

RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).

“Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup.”

Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan ‘Malam Amal Raudhatus Sakinah’ (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema ‘Lelaki Pelindung Wanita’, program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.

(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)

Sumber : Malaysia Harmoni

Followers

Linking to me from where??.....

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

AKTIVITI RS